SUDAH lama tidak menjejakkan kaki ke Kampung Baru di tengah ibu kota. Atas ajakan teman, penulis bersetuju selepas dia tertarik melihat video pendek mengenai kedai makan mempromosikan masakan tomyam asli Thailand.
Bukan tidak suka ke situ, tetapi memikirkan kesesakan bakal ditempuhi, jalan sempit, ditambah pula malam minggu, pelawaan makan malam bersama disahut separuh hati. Penulis bermotosikal sahaja ke lokasi.
Tidak sangka suasana Kampung Baru pada malam minggu sangat meriah. Seperti dijangka, kesesakan mengalahkan waktu puncak hari bekerja walaupun jam sudah menunjukkan hampir 10 malam.
Setiap restoran dipenuhi pelanggan. Malah, ada kalangan pelanggan itu pelancong asing berdasarkan pakaian dan raut wajah mereka.
Paling mudah dicam ialah kehadiran wanita berjubah, kulit putih dan berhidung mancung. Sah mereka dari negara Arab.
Melihat kepada raut wajah yang berjalan di sekitar kawasan itu, ramai juga boleh dikategorikan sebagai pelancong luar negara. Mungkin mereka hadir sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 walaupun promosinya dilihat tidak serancak pada 1990. Kali ini hampir tiada promosi di akhbar, media sosial atau media elektronik lain.
Ketika pembentangan Belanjawan baru-baru ini, kerajaan memperuntukkan lebih RM700 juta bagi merancakkan kempen TMM 2026 dengan memfokuskan promosi antarabangsa, infrastruktur dan acara kebudayaan.
Sasaran utama adalah menarik 43 juta pelawat antarabangsa dengan jangkaan sumbangan ekonomi sebanyak RM121 bilion.
Di atas kertas, angka ini kelihatan meyakinkan dan keadaan di depan mata juga menunjukkan sasaran itu berkemungkinan mampu dicapai atau melebihi jangkaan menjelang 31 Disember 2026.
Sebaik tiba di restoran yang dijanjikan, timbul masalah baharu apabila terpaksa menunggu meja kosong pula.
Sekitar 20 minit, pelayan memanggil selepas ada meja kosong. Selesai memesan, tidak lama makanan terhidang di depan mata. Benar, rasanya enak.
Tidak sampai separuh hidangan, penulis disapa dari belakang. Berdiri dua beranak berwajah tampan namun dalam keadaan tidak terurus.
Raut wajah mereka jelas menunjukkan berasal dari tanah Arab, namun bukan pelancong tetapi gelandangan dan meminta wang.
Timbul persoalan bagaimana mereka mampu menjejakkan kaki sejauh beribu kilometer ke sini semata-mata untuk meminta ihsan. Kos perjalanan bukan kecil, malah mencecah ribuan ringgit.
Tidak sampai 20 minit dua beranak itu beredar, muncul pula gelandangan lain. Kali ini wanita Rohingya bersama seorang anak kecil dan bayi.
Teringat kenyataan mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, yang menyifatkan kebanjiran gelandangan di ibu negara kini semakin kritikal dan sukar ditangani.
Inilah dimaksudkan beliau apabila pihak berkuasa boleh menemui sehingga 400 gelandangan dalam setiap operasi.
Penulis mengalaminya sendiri apabila hampir dua jam di restoran, disapa empat orang gelandangan dan pengemis.
Keadaan ini mencemarkan imej negara sempena TMM 2026. Pihak berkaitan perlu mengambil tindakan segera sebelum semakin meruncing.
Jangan pula apabila jumlah pelancong asing meningkat, bilangan gelandangan mengambil kesempatan turut bertambah, apatah lagi dengan ketibaan Ramadan bulan hadapan.
*Mohd Razlan Salleh ialah Sub Editor Sinar Harian