Ibu berpantang dukung bayi dalam gelap, sejuk redah banjir 50 meter

Iklan
Roslinda akur sambung berpantang di PPS.

KOTA BHARU – Seorang ibu yang baru 27 hari melahirkan anak terpaksa meredah banjir sejauh lebih 50 meter dalam keadaan menggigil kesejukan sambil mendukung bayinya ketika hujan lebat dan cuaca gelap untuk menyelamatkan diri.

Suri rumah, Roslinda Ahmad, 35, berkata, air mula naik sekitar jam 4 petang di rumah mereka di Kampung Pulau Gajah dan semakin meningkat menjelang malam.

Iklan
Iklan

“Biasanya air naik sekejap saja, dalam sejam surut. Tapi malam itu makin tinggi.

“Saya terjaga dari tidur selepas tilam basah, air masuk rumah. Terus kejut suami keluar bersama anak-anak,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Sabak di sini pada Isnin.

Iklan

Roslinda sekeluarga berlindung di PPS selepas rumah mereka dinaiki air.

Suaminya, Mohamad Sulahemi Sulaiman, 38, membawa dia bersama lima lagi anak mereka ke PPS tersebut menggunakan kereta yang diletakkan di tempat lebih tinggi sejauh 50 meter berkenaan.

Iklan

“Saya menggigil, kaki dah tak rasa apa-apa tapi bertahan sebelum polis tiba bantu ambil kami separuh jalan dengan pacuan empat roda sebab jalan untuk sampai ke PPS turut dinaiki air,” ujarnya.

Dengan tubuh yang masih sakit-sakit dan kaki kebas kerana kesejukan meredah banjir, Roslinda akur meneruskan tempoh berpantang di PPS berkenaan.

Roslinda sebelum ini melahirkan bayinya, Nur Syazwa Mohamad Sulahemi di Hospital Raja Perempuan Zainab II dengan berat bayi 3.8 kilogram dan kini sudah tiga hari berada di PPS.

“Kami pindah Sabtu lalu, walaupun setiap tahun kampung ini banjir, ini kali pertama kami terpaksa keluar rumah selamatkan diri ke PPS.

“Mujur anak tak meragam atau menangis,” katanya yang turut bersama menantu dan seorang cucu ditempatkan di PPS itu.