DALAM masyarakat kita terutama dalam kalangan orang Melayu, topik berkaitan seks masih dianggap sesuatu yang kekok untuk dibincangkan secara terbuka.
Ramai ibu bapa lebih selesa menyerahkan tugas tersebut kepada guru kerana bimbang nampak pelik jika berbual hal sebegini dengan anak-anak.
Oleh kerana perasaan itu, maka ramai kalangan ibu bapa yang memilih untuk tidak menyentuh isu dalaman semasa anak-anak ini menuju usia remaja.
Namun hakikatnya, masalah ini tidak boleh dipandang ringan. Statistik yang dikongsikan oleh Menteri Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri cukup membuka mata.
Dalam tempoh empat tahun, dari 2020 hingga 2024, sebanyak 17,000 remaja hamil tanpa nikah direkodkan bersamaan purata sembilan kes sehari.
Bayangkan, setiap hari ada sembilan remaja yang terpaksa memikul beban besar seumur hidup kerana kurangnya pendedahan berkenaan kesan dan akibat aktiviti seksual tidak terbatas ini.
Disebabkan itu, kerajaan melalui kementerian terbabit mula memperkenalkan pelbagai langkah termasuk menyediakan pendidikan seks di sekolah dan melibatkan komuniti untuk bantu mendidik remaja tentang keselamatan diri dan batas pergaulan. Walaupun begitu, peranan sekolah hanyalah sebahagian.
Pendidikan yang sebenar bermula dari rumah. Ibu bapa ialah individu pertama yang anak percaya dan rujuk. Mereka patut menjadi orang yang menerangkan tentang perubahan tubuh, emosi dan batas hubungan antara lelaki dan perempuan.
Abang atau kakak yang rapat dengan adik-adik juga boleh membantu, kerana kadang-kadang anak lebih mudah bertanya kepada ahli keluarga yang mereka selesa atau rapat.
Di era digital ini, cabaran semakin kompleks kerana remaja mudah terdedah kepada pelbagai maklumat lucah di media sosial, yang menjadi salah satu punca utama kepada kejatuhan moral generasi masa kini. Inilah pengaruh sebenar kepada gejala remaja hamil sebelum waktunya.
Secara ringkasnya, pendidikan seks bukan tentang mengajar remaja melakukan perkara yang melanggar nilai agama. Tujuan utamanya ialah membantu mereka mengenali diri, memahami perubahan tubuh dan menjaga maruah diri.
Jika rumah menjadi tempat pertama anak belajar tentang hal ini, dan sekolah pula menyokong dengan ilmu yang seimbang, barulah remaja kita dapat membesar sebagai generasi yang matang, tinggi nilai moral dan bermaruah.