'Usah bazir masa, wang lawan keputusan FIFA' - Hanipa Maidin

Iklan
Mohamed Hanipa

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) dinasihatkan supaya tidak membazir masa dan wang untuk mencabar keputusan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) susulan isu keabsahan pemain warisan.

Memetik portal Malaysiakini, bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Mohamed Hanipa Maidin menyatakan pandangan sebegitu sekiranya beliau ialah peguam yang mewakili FAM.

Iklan
Iklan

Mohamed Hanipa berkata, pihaknya telah meneliti keseluruhan penghakiman bertulis yang dikeluarkan Jawatankuasa Rayuan FIFA berbentuk dokumen setebal 64 halaman dan 304 perenggan.

Kata beliau, jawatankuasa itu jelas mendedahkan terdapat banyak fakta yang mengelirukan.

Iklan

"Bagi saya, dakwaan pemalsuan dokumen itu seperti perbuatan yang disengajakan, walaupun saya berharap saya salah.

“Kalaulah saya peguam yang mewakili FAM, saya dengan jujur dan berterus terang akan menasihatkan mereka supaya jangan buang masa, apatah lagi wang.

Iklan

“Nasihat ikhlas saya, FAM patut berani mengaku silap kerana sudah melakukan kesalahan besar dan memalukan ini, kemudian jujur kepada rakyat,” katanya pada Ahad.

Keputusan Jawatankuasa Rayuan FIFA yang dikeluarkan pada 17 November lalu mengarahkan siasatan penuh dibuat terhadap operasi dalaman FAM.

Ia susulan hukuman dikenakan ke atas persatuan itu dan tujuh pemain warisan Harimau Malaya termasuk dakwaan pemalsuan dokumen.

Jawatankuasa itu juga mengarahkan Jawatankuasa Tatatertib FIFA memaklumkan pihak berkuasa di Malaysia, Brazil, Argentina, Belanda dan Sepanyol mengenai kesalahan yang dilakukan.

Hasil siasatan itu mendedahkan wujud satu skim yang disengaja dan diselaraskan, termasuk mengubah sijil kelahiran datuk serta nenek pemain, kemudian diserahkan kepada FIFA kononnya sebagai dokumen tulen.

Jawatankuasa itu turut mengkritik tindakan FAM menggantung Setiausaha Agungnya, Datuk Noor Azman Rahman dengan menyatakan bahawa terma atau skop hukuman tidak dijelaskan dengan betul.

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan bahawa tiada sebarang perlindungan diberi kepada individu yang terpalit skandal FAM.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh turut mengesahkan tiada geran tambahan akan diberi kepada FAM sehingga isu tersebut diselesaikan sepenuhnya.

Mengulas lanjut, Mohamed Hanipa berpandangan, insiden sebegitu mencemarkan nama negara di mata dunia dan ia boleh diibaratkan seperti skandal 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Kekurangan integriti kekal sebagai penyakit kronik kita. Dalam kes Hoodless & Blackwell melawan FSA (2003), antaranya diputuskan bahawa ‘pada pandangan kami, integriti membawa makna keteguhan moral, kejujuran dan pematuhan konsisten kepada kod etika.

"Seseorang itu tidak berintegriti jika dia tidak mampu membezakan antara apa yang jujur atau tidak jujur mengikut piawaian biasa," ujar bekas ahli Parlimen Sepang itu.