BIARPUN masih belum beraksi pada tahap optimum, namun kelibat tiga pemain warisan Harimau Malaya; Hector Hevel, Jon Irazabal dan Joao Figueiredo ternyata membantu kemenangan 3-0 Johor Darul Ta'zim (JDT), ke atas kelab Myanmar, Shan United FC pada aksi Kejohanan Kelab ASEAN (ACC) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Khamis.
Kedua-dua pasukan bermula baik sebaik wisel permulaan dengan menyaksikan beberapa asakan menarik terhasil ke gawang lawan masing-masing.
JDT memiliki pulang membuka jaringan pada minit ke-12, namun penyerang Jairo Da Silva gagal menyempurnakan hantaran Oscar Arribas dan menyaksikan tandukannya tersasar.
Pelawat turut berpeluang menjaringkan gol namun percubaan yang dilakukan ke pintu gol tuan rumah dilihat gagal menepati sasaran.
Sehingga ke penghujung babak pertama, kedua-dua pasukan dilihat masih buntu bagi meledak jaringan dan menyaksikan kedudukan kekal menuju bilik persalinan.
Bersambung babak kedua JDT semakin menggandakan asakan dan hasilnya, Oscar Arribas berjaya membuka jaringan pada minit ke-66.
Seminit berselang, giliran pemain gantian, Bergson Da Silva mencatat nama selaku penjaring apabila berjaya. Melepasi kawalan pertahanan lawan sebelum merembat leret menewaskan penjaga gol, Kyaw Zon Phyo pada minit ke-67.
Bergson sekali lagi menggamatkan stadium apabila menjaringkan gol ketiga yang juga gol kedua peribadinya pada minit ke-71.
Selesa mendahului 3-0 bagaimanapun dilihat masih belum mampu menghentikan asakan bertali arus skuad Harimau Selatan itu ke gawang pelawat dalam usaha menambah jaringan.
Bagaimanapun, tiada tambahan jaringan berjaya dihasilkan oleh kedua-dua pasukan hingga ke wisel penamat.