Wan Zack Haikal kembali perkuat Perak FA

Iklan
Wan Zack

IPOH – Perak FA menerima suntikan pemain berpengalaman apabila bekas tonggak skuad kebangsaan, Wan Zack Haikal Wan Noor, sah menyertai pasukan itu bagi menghadapi saingan Liga A1 Semi Pro musim ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Azhar Jamaluddin, berkata kehadiran pemain berusia 35 tahun itu diyakini mampu menambah variasi dan kreativiti di bahagian tengah serta serangan pasukan, sekali gus memperkukuh kekuatan skuad Seladang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pengalaman luas yang dimiliki Wan Zack di peringkat tertinggi bola sepak tanah air bukan sahaja penting dari segi taktikal, malah berperanan besar dalam membimbing pemain muda Perak.

“Kehadiran Wan Zack bukan sekadar menambah kualiti di atas padang, tetapi juga diharap dapat menjadi sumber inspirasi dan contoh kepada pemain-pemain muda dalam pasukan,” katanya dalam satu kenyataan.

Iklan

Azhar berkata, kembalinya Wan Zack ke bumi Perak diharapkan mampu menyuntik semangat juang serta kestabilan pasukan, ibarat sirih pulang ke ganggang, dalam usaha membina sebuah pasukan yang lebih kuat.

“PAFA merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Penang FC atas kerjasama serta profesionalisme yang ditunjukkan sepanjang proses perpindahan pemain ini,” katanya.

Iklan

Wan Zack bukan nama asing buat penyokong Perak apabila beliau pernah menjadi tonggak Perak FC selama tiga musim bermula pada saingan Liga Perdana 2022 sebelum berhijrah ke Penang FC.

Sepanjang bersama skuad The Bos Gaurus, Wan Zack memainkan peranan penting sebagai pemain berpengalaman yang menjadi figura berpengaruh dalam membantu pembangunan pemain muda, selain konsisten menampilkan aksi terbaik di atas padang.

Malah, bekas pemain sayap lincah itu juga pernah diberi kepercayaan menggalas tugas kapten pasukan, membuktikan kepimpinan serta pengalaman yang dimilikinya cukup berharga buat barisan kejurulatihan.

Perak kini diletakkan harapan untuk mara jauh dalam kempen Piala Cabaran selepas mempamerkan aksi meyakinkan dalam saingan Piala Malaysia.

Pasukan kendalian Syamsul Saad sebelum ini hampir mencipta kejutan ke atas juara Piala Malaysia 2021, Kuala Lumpur City FC, sebelum tewas tipis 2-3 secara agregat dalam pusingan 16.