PERSEORANGAN profesional lelaki negara, Lee Zii Jia mempamerkan kebangkitan untuk mara ke suku akhir Masters Thailand pada Khamis.
Zii Jia yang tersingkar awal dalam ketiga-ketiga Jelajah Dunia BWF musim ini, bekerja keras menundukkan pemain kurang ternama dari India, Mithun Manjunath.
Bekas juara Seluruh England itu tewas set pertama, 11-21, namun bangkit pada set kedua 21-16 sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan sebelum meraih kemenangan 21-12 dalam tempoh 52 minit.
Kemenangan itu sudah pasti menjadi tonik buat Zii Jia untuk meneruskan kempen di Arena Nimibutr, Bangkok esok.
Untuk rekod, ini kali pertama Zii Jia beraksi di pusingan lapan terbaik sejak saingan Masters Orleans pada Mac 2025.
Menanti Zii Jia di suku akhir esok ialah pilihan kedua kejohanan dan juara Masters Indonsia, Alwi Farhan.
Sementara itu, seorangan lagi wakil negara, Justin Hoh kandas di pusingan kedua selepas dikecewakan oleh wakil China, Zhu Xuan Chen.
Begitupun, Justin tidak memberi laluan mudah buat lawannya yang menghuni ranking 69 dunia itu.
Justin bertungkus-lumus memadam kekecewaan set pertama 17-21 sebelum menempuhi rintangan berliku untuk menguasai set kedua 22-20 di Stadium Nimibutr itu.
Namun, kesilapan demi kesilapan dalam set penentuan membenarkan Xuan Chen mengorak jurang besar sebelum mengesahkan kemaraan dengan keputusan 21-9.