JERANTUT – Lebih 250 penduduk di Kampung Bantal dinasihatkan supaya berwaspada susulan kemunculan seekor harimau liar di sekitar Hulu Tembeling di sini pada Sabtu.
Difahamkan, tiga rangkaian Kampung Bantal yang terkesan ialah Kampung Membatu, Kampung Terus dan Kampung Komel.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Bantal, Hamdan Ali berkata, pemakluman kepada penduduk supaya berwaspada telah dibuat selepas penularan rakaman video haiwan itu pada hari yang sama.
Menurutnya, laporan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) telah dibuat bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil.
“Saya sudah menasihatkan penduduk supaya berhati-hati dan elak melakukan aktiviti luar kerana tidak diketahui lokasi sebenar harimau tersebut.
“Jangan bertindak sendiri, biarlah pihak berkuasa yang berkenaan menangani perkara ini,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Hamdan memaklumkan, ia merupakan insiden pertama harimau dilaporkan muncul berhampiran kawasan perkampungan dan setakat ini haiwan itu dipercayai seekor sahaja, namun pengecaman rasmi masih dijalankan oleh pihak berkaitan.
“Pergerakan haiwan ini tidak menentu, mungkin kerana lapar atau sakit. Saya jangka keadaan sedemikian boleh menimbulkan risiko kepada penduduk,” katanya.
Pada Sabtu, Sinar Harian melaporkan Perhilitan Pahang memasang perangkap dan kamera selepas menerima maklumat mengenai kemunculan seekor harimau belang di sebuah ladang di Hulu Tembeling, Jerantut.
Terdahulu, sebuah video berdurasi lebih satu minit 28 saat tular di media sosial memaparkan seekor harimau belang yang sedang berkeliaran dilihat penduduk di kawasan berhampiran Kampung Bantal.
Rakaman itu menunjukkan haiwan tersebut bergerak perlahan di antara pokok dan semak tebal sebelum kembali semula ke kawasan hutan berhampiran.