Andalusia sasar rekrut 800 ejen di Perak banteras 'scammer' pakej umrah

Iklan
Ahmad Hafiz (kiri) memastikan program Karnival Jimba dan Road Tour Andalusia di Masjid Sultan Azlan Shah, Kampung Gajah, Pasir Salak pada Sabtu berjaya.

PASIR SALAK – Andalusia Travel & Tour Sdn Bhd menyasarkan untuk melantik 800 ejen pemasaran sah di Perak menerusi siri Road Tour dan Karnival Jelajah Impian dan Mimpi Bersama Andalusia (JIMBA) bagi memerangi kegiatan penipuan pakej umrah yang semakin berleluasa di kawasan luar bandar.

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Md Daud Che Ngah berkata, langkah itu sebahagian daripada misi yang dilaksanakan di seluruh negara bagi mendekati masyarakat serta memberikan penerangan tepat berhubung urusan haji dan umrah.

Iklan
Iklan

Dakwanya, penipuan umrah banyak berlaku apabila sindiket penipuan menyasarkan penduduk luar bandar yang sukar mengesahkan status ejen selain bergantung kepada tawaran murah yang tidak masuk akal.

"Scammer suka lokasi luar bandar kerana orang nak ke pejabat atau berjumpa ejen sah jauh. Bila ditipu, sudah terlambat. Ada kes kumpulan kutip duit 20 hingga 30 orang, tiba hari berlepas, semuanya hilang.

Iklan

"Sebab itu Andalusia keluar ke lapangan. Kita tunjuk muka, beri penerangan dan lantik ejen sah supaya jemaah tidak terpedaya," katanya kepada pemberita sempena program Karnival Jimba dan Road Tour Andalusia di Masjid Sultan Azlan Shah, Kampung Gajah di sini pada Sabtu.

Hadir sama Pengurus Wilayah Andalusia, Ahmad Hafiz Lukmanul Hakim.

Iklan

Md Daud menegaskan, masyarakat perlu diberikan pendedahan bahawa harga pakej umrah terlalu murah serendah RM3,000 hingga RM3,500 jelas merupakan penipuan kerana kos penerbangan sahaja kini melebihi RM4,000.

Md Daud menunjukkan buku terbaharu dihasilkan mengenai pengalaman selama 50 tahun sebagai pembimbing haji.

"Mana ada kapal terbang sanggup bawa jemaah RM2,000 atau RM3,000? Tambang dah lebih RM4,200. Belum kira makan minum, hotel, visa dan pengurusan di Tanah Suci. Harga paling rendah pun RM5,500 hingga RM6,390 untuk pakej standard dan berkualiti.

"Kami tak boleh turunkan kualiti demi kejar harga murah. Andalusia tak mahu dikaitkan dengan scam. Tolonglah umat Islam jangan mudah terpedaya,” tegasnya.

Dalam pada itu, Md Daud turut menasihati orang ramai agar berhati-hati dengan individu atau kumpulan yang menawarkan perkhidmatan Badal Haji pada harga tidak munasabah, termasuk serendah RM2,600 hingga RM3,000.

Katanya, terdapat pihak yang mengaut keuntungan besar dengan menghimpunkan duit orang ramai tetapi hanya beberapa individu melaksanakan badal tersebut, sekali gus menimbulkan keraguan terhadap kesahihannya.

"Badal Haji mesti dibuat melalui agensi berdaftar yang mempunyai wakil sah di Tanah Suci. Jangan bagi kepada orang perseorangan walaupun dia mengaku ustaz. Kalau tidak ada bukti, tidak ada amanah.

"Tabung Haji pun sudah beri amaran tentang tawaran Badal Haji murah ini. Ramai terpedaya sebab tawarannya kelihatan mudah,” jelas beliau.

Pada program itu, Md Daud turut berkongsi mengenai buku biografi ‘Untold Story 50 Tahun Pengalaman Haji’ yang mengisahkan perjalanan beliau dalam industri haji dan umrah.

Program Road Tour Andalusia dijangka berlangsung di seluruh negara sehingga tamat musim JIMBA dengan kerjasama dua hingga tiga cawangan di setiap daerah sebagai usaha memperkukuh jaringan sah ejen pemasaran dan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap penipuan umrah.

Karnival JIMBA menawarkan pelbagai cabutan bertuah setiap minggu termasuk hadiah utama sebuah kereta bernilai lebih RM100,000 malah untuk lokasi di Kampung Gajah, Andalusia menambah dua hadiah utama berupa pakej pelancongan ke Mabul dan pakej umrah.