Abuja– Sebanyak 315 murid dan guru dilaporkan diculik dalam satu serangan ke atas sebuah sekolah Katolik di negara bahagian Niger, menjadikan kejadian itu penculikan massal kedua yang berlaku dalam tempoh seminggu di Nigeria.
Ia berlaku pada awal pagi Jumaat apabila sekumpulan lelaki bersenjata menceroboh St Mary School, sebuah sekolah Katolik di bahagian tengah, Nigeria.
Laporan awal mendapati hanya puluhan mangsa diculik, namun angka itu meningkat setelah proses verifikasi dilakukan.
Menurut Asosiasi Kristian Nigeria, jumlah sebenar mangsa adalah 303 murid dan 12 guru.
Angka ini mewakili hampir separuh daripada 629 murid yang berdaftar di sekolah berkenaan.
Berikutan kejadian tersebut, kerajaan negeri Niger bertindak menutup sejumlah sekolah sebagai langkah keselamatan.
Negeri-negeri berdekatan seperti Katsina dan Plateau turut mengarahkan semua sekolah ditutup bagi mengelakkan risiko penculikan baharu.
Penculikan besar-besaran ini berlaku hanya beberapa hari selepas insiden serupa di sebuah sekolah di negeri Kebbi pada 17 November, yang menyaksikan 25 pelajar perempuan diculik.
Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Nigeria, Bola Tinubu membatalkan beberapa pertemuan antarabangsa, demi menangani krisis keselamatan yang semakin meruncing itu.
Nigeria kini berdepan kebimbangan baharu susulan rangkaian penculikan dan serangan terhadap gereja di wilayah barat negara itu yang mengorbankan sekurang-kurangnya dua orang baru-baru ini.