ISTANBUL - Satu gempa bumi sederhana bermagnitud 5.2 melanda Daerah Asaluyeh di Wilayah Bushehr, selatan Iran pada pagi Ahad, lapor Anadolu Ajansi yang memetik media tempatan.
Menurut laporan agensi berita rasmi Iran, IRNA, kejadian itu berlaku pada kedalaman 18 kilometer.
Pusat gempa dikesan berada pada kedudukan 24 kilometer (15 batu) dari Asaluyeh, 32 kilometer (20 batu) dari Kushknar di Wilayah Hormozgan, dan 45 kilometer (28 batu) dari Galehdar di Wilayah Fars.
Setakat ini, tiada laporan segera mengenai kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda diterima.
Iran terletak dalam zon aktif seismik dan sering dilanda gempa bumi yang dahsyat dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Antara bencana paling tragis dalam sejarah moden negara itu adalah pada 2013, apabila gempa bumi dengan magnitud 6.7 melanda Bandar Bam yang mengorbankan sekurang-kurangnya 34,000 nyawa.
Pada Julai 2022, satu lagi gempa bumi dengan magnitud 6.1 menggegarkan wilayah selatan Hormozgan di sepanjang pantai Teluk Parsi, mengakibatkan lima kematian dan lebih 80 mangsa cedera. - Bernama