'Sabar dulu, lesen dulang emas belum dikeluarkan' - MB Kelantan

Iklan
Mohd Nassuruddin (depan, empat dari kiri) hadir pada Majlis Menandatangani Perjanjian Program Terbitan Sukuk Wakalah antara PKB dan Maybank Investment Bank Berhad di Kota Bharu pada Jumaat.

KOTA BHARU – Rakyat Kelantan diminta bersabar dan tidak terburu-buru mendulang emas sehingga garis panduan serta syarat lengkap pemberian lesen dimuktamadkan.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, walaupun kerajaan negeri bersetuju untuk mengeluarkan lesen mendulang emas kepada penduduk dan membenarkan aktiviti mendulang emas di tanah kerajaan, garis panduan serta syarat berhubung kaedah pemberian lesen itu masih di peringkat kajian.

Iklan
Iklan

“Buat masa ini, saya minta rakyat bertenang dan tunggu dulu.

“Lesen belum dikeluarkan dan kajian masih berjalan,” katanya selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Program Terbitan Sukuk Wakalah Berjumlah RM300 juta antara Permodalan Kelantan (PKB) dan Maybank Investment Bank Berhad di sebuah hotel,di sini pada Jumaat.

Iklan

Turut hadir, Pengerusi PKB, Datuk Ahmad Yakob dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbankan Islam & Maybank Islamic Berhad, Mohamad Yasin Abdullah.

Aktiviti mendulang emas di kawasan pedalaman Kelantan di Gua Musang, Jeli dan Tanah Merah mendapat perhatian umum hingga mendorong peningkatan jumlah jualan dulang emas dari kayu merbau.

Iklan

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan majlis berkenaan, Mohd Nassuruddin berkata, Sukuk Wakalah menunjukkan komitmen kerajaan negeri Kelantan melalui PKB meneroka pasaran modal patuh syariah, kos efektif dan memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat.

“Terbitan Sukuk ini akan menjadi pemangkin kepada usaha memajukan negeri melalui pelaburan yang terancang dan berdaya saing.

“Hasil dana Sukuk PKB akan digunakan untuk membiayai projek-projek strategik termasuk mengembangkan perniagaan Ar-Rahn, pelaburan emas dan inisiatif ekonomi rakyat,” katanya.