MIC kini berada di persimpangan penting

Iklan
MIC tidak akan membuat sebarang keputusan sama ada kekal atau keluar daripada BN pada Perhimpunan Agung Tahunan ke-79 parti itu yang berlangsung di IDCC pada Ahad lalu.Gambar kecil: M. Vivekananthan

KEPUTUSAN yang diumumkan dalam Perhimpunan Agung Tahunan MIC ke-79 baru-baru ini memberi isyarat jelas bahawa parti itu sedang menilai semula kedudukannya dalam Barisan Nasional (BN), meskipun belum ada pengumuman rasmi mengenai hala tuju muktamad.

Perwakilan sebulat suara bersetuju meluluskan usul untuk keluar daripada BN dan menyertai Perikatan Nasional (PN). Bagaimanapun Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran mengumumkan parti itu memutuskan untuk menyerahkan kepada pimpinan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) untuk membuat keputusan.

Iklan
Iklan

Sejak kekalahan dalam Pilihan Raya Umum ke-14, yang menyaksikan kejatuhan BN daripada tampuk pemerintahan negara, MIC kekal sebagai antara parti komponen yang paling setia.

Ketika beberapa parti lain memilih untuk meninggalkan BN atau menjalin pakatan baharu, MIC tetap berdiri teguh bersama gabungan itu, memperkukuh naratif “susah senang bersama” yang menjadi asas kerjasama politik mereka selama ini.

Iklan

Sejarah membuktikan bahawa kesetiaan MIC bukanlah sesuatu yang baharu.

Ketika UMNO diisytiharkan tidak sah oleh mahkamah pada tahun 1988, dan Tengku Razaleigh Hamzah menubuhkan Parti Melayu Semangat 46, MIC tidak tergugat.

Iklan

Walaupun perpecahan undi Melayu berlaku secara besar-besaran dan Semangat 46 menjadi pembangkang utama melalui gabungan seperti Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dan Gagasan Rakyat (GR), MIC tetap berpegang kepada keyakinan bahawa BN yang diterajui UMNO adalah platform terbaik untuk menjamin kestabilan dan kepentingan semua kaum.

Begitu juga ketika krisis politik tercetus pada tahun 1998 susulan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada UMNO dan jawatan Timbalan Perdana Menteri. Gerakan reformasi yang menyusul mengubah landskap politik negara secara drastik, namun

MIC sekali lagi memilih untuk kekal bersama UMNO di bawah panji BN.

Namun, landskap politik hari ini jauh berbeza. UMNO kini dilihat bergantung kepada DAP dan blok Pakatan Harapan (PH) untuk mengekalkan kuasa di peringkat Persekutuan.

Kebergantungan ini memaksa UMNO memberi keutamaan kepada hubungan baharu tersebut, yang secara tidak langsung mengurangkan tumpuan terhadap rakan-rakan lamanya seperti MIC dan MCA.

Perkembangan ini menimbulkan persepsi bahawa MIC dan MCA semakin dipinggirkan, memandangkan DAP kini menjadi penyumbang utama kepada kekuatan Kerajaan Perpaduan.

Dalam konteks ini, MIC berdepan cabaran besar untuk menilai semula kedudukannya dalam gabungan yang pernah menjadi tunjang kekuatannya.

Dengan perubahan strategi dan pakatan politik yang berlaku, MIC kini berada di persimpangan penting.

Kesetiaan yang ditunjukkan selama ini mungkin tidak lagi mendapat tempat dalam realiti politik baharu, dan parti itu perlu membuat keputusan strategik demi masa depan dan kelangsungan perjuangannya.

* M. Vivekananthan Setiausaha Sulit Timbalan Presiden MIC merangkap Ahli Parlimen Tapah