JELI – Orang ramai yang teruja menjalankan aktiviti mendulang emas di Sungai Tadoh, Kampung Kalai di sini dinasihatkan supaya tidak menceroboh atau memasuki tanah milik individu bagi mengelakkan sebarang pertikaian.
Penghulu Mukim Kalai, Shahfakrimee Sallah berkata, sejak kerajaan negeri mengumumkan kebenaran mendulang emas, semakin ramai penduduk termasuk dari luar kawasan datang ke beberapa lokasi tumpuan untuk mencari logam berharga itu.
Bagaimanapun katanya, setakat ini garis panduan terperinci mengenai syarat dan kawasan yang dibenarkan mendulang masih belum dimuktamadkan kerajaan negeri.
“Kita tunggu pengumuman rasmi daripada kerajaan negeri untuk panduan semua pihak.
"Di sini, di sepanjang sungai adalah penempatan penduduk dan tanah kebun milik individu.
"Disebabkan itu, bila pengumuman ini dibuat, ada segelintir mulai bimbang jika tanah akan diceroboh oleh pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya kepada Sinar Harian.
Menurut beliau, orang ramai tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya memasuki kawasan tanah yang bukan milik mereka semata-mata kerana mengejar emas.
Ujarnya, penduduk kampung tidak menghalang orang ramai menjalankan aktiviti mendulang selagi mereka mematuhi undang-undang dan menghormati hak pemilik tanah.
“Kita faham orang seronok nak cuba cari emas, tapi biarlah ikut peraturan dan tunggu panduan rasmi. Jangan sampai cari emas, tapi dapat masalah pula.
"Saya minta jangan suka hati masuk mana-mana kawasan. Takut termasuk kebun dan kawasan rumah orang, nanti timbul masalah lain pula,” katanya.