Kontraktor diberi tempoh enam bulan siapkan rumah rakyat B40

Iklan
Rozi (dua dari kiri) meninjau projek perumahan PPK Kampung Air Putih di Kemaman pada Rabu.

KEMAMAN - Kontraktor projek perumahan Program Pemajuan Kawasan (PPK) Kampung Air Putih di sini diberi tempoh enam bulan untuk menyiapkan keseluruhan pembinaan rumah berkenaan yang sepatutnya siap tahun lalu.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Datuk Rozi Mamat berkata, projek itu dijangka akan dilaksanakan sebaik sahaja kontraktor menerima surat kelulusan tambahan peruntukan berjumlah kira-kira RM3 juta.

Iklan
Iklan

Menurutnya, projek yang bermula sejak 16 Oktober 2019 itu mengalami kelewatan akibat pelbagai kekangan termasuk pandemik Covid-19, penyelarasan pematuhan syarat-syarat baharu agensi teknikal dan pertambahan skop kerja.

"Saya turun sendiri hari ini untuk melihat perkembangan projek kerana ia merupakan isu besar melibatkan masyarakat setempat.

Iklan

"Berdasarkan penjelasan Ketengah dan pertemuan dengan kontraktor, projek ini hampir siap malah kerja-kerja pembinaan kini siap 94 peratus dan hanya berbaki sekitar enam peratus sahaja lagi.

"Sebanyak 185 unit rumah berkeluasan 660 kaki persegi telah siap dibina, termasuk kemudahan lain seperti surau, taman permainan, kedai dan tadika. Tinggal sedikit lagi kerja infrastruktur seperti longkang dan jalan," katanya ketika ditemui di tapak projek tersebut di sini pada Rabu.

Iklan

Turut serta, Pengurus Besar Ketengah, Datuk Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa.

Rozi berkata, pihak kontraktor telah menyatakan komitmen penuh untuk menyiapkan projek berkenaan yang dijangka disiapkan pada Jun 2026.

"Kita beri mereka masa enam bulan selepas surat kelulusan peruntukan diterima. Saya sendiri akan pantau sehingga siap.

"Kalau tidak siap dalam tempoh itu, ia menjadi tanggungjawab kami kerana projek ini membabitkan kepentingan orang ramai," katanya.

Beliau berkata, projek perumahan dengan kos keseluruhan hampir RM28 juta itu melibatkan kawasan seluas kira-kira 17 hektar.

"Projek ini bertujuan menempatkan semula penduduk kampung yang terdedah kepada bencana alam, isu keselamatan dan risiko kesihatan serta mereka yang tinggal di kawasan penempatan tidak sesuai.

"Selain itu, manfaat turut disasarkan kepada golongan miskin, miskin tegar (berdasarkan data e-Kasih) serta golongan berpendapatan rendah (B40) yang memenuhi kriteria kelayakan," jelasnya.

Beliau berkata, proses kemasukan penduduk ke rumah tersebut hanya boleh dibuat selepas urusan penyerahan dan kelulusan melibatkan Ketengah, pejabat daerah serta agensi teknikal lain.

"Apa yang penting sekarang, kita siapkan dulu. Selepas diserahkan kepada Ketengah, barulah proses seterusnya boleh dibincangkan.

"Kita juga mahu percepatkan kemasukan kerana jika rumah dibiarkan kosong terlalu lama, banyak kerosakan boleh berlaku,” katanya.