KUALA TERENGGANU – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menyalurkan bantuan kebajikan kepada keluarga Allahyarham Syakirah Hanan Mazli, 25, yang maut dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), di sini pada Isnin.
Naib Canselor UniSZA, Profesor Datuk Dr Fadzli Adam berkata, pemergian Allahyarham disifatkan sebagai satu kehilangan besar bukan sahaja kepada keluarga, malah seluruh warga UniSZA.
"Sebagai tanda keprihatinan dan kebajikan, UniSZA akan menyalurkan beberapa bentuk bantuan kepada keluarga Allahyarhamah.
"Antara bentuk bantuan adalah khairat kematian pelajar berjumlah RM1,000, pampasan kematian sebanyak RM5,000, bantuan pengurusan jenazah RM1,000 serta tuntutan insurans pelajar berjumlah RM12,000 tertakluk kepada terma dan syarat yang berkuat kuasa," katanya.
Fadzli sebelum itu mluangkan masa hadir menziarahi keluarga Allahyarhamah di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah pada petang Isnin.
Beliau turut bersama-sama menunaikan solat jenazah yang dipimpin bapa Allahyarham, Mazli Yusoh di Masjid Ibadurrahman, Kampung Kuala Bekah, di sini pada malam Isnin.
"UniSZA turut mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat oleh ALLAH SWT, diampunkan segala dosa, diterima amal kebajikan serta ditempatkan dalam kalangan hambaNya yang beriman dan beroleh kedudukan mulia di sisiNya," katanya.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan Syakirah Hanan yang juga Pelajar Semester 2, Diploma Pascasiswazah Pendidikan di Fakulti Pengajian Islam Kontemporari UniSZA maut selepas kereta Perodua Viva dipandunya dirempuh sebuah Honda Jazz dipandu seorang lelaki berusia 32 tahun.
Kejadian berlaku kira-kira jam 1.30 tengah hari di persimpangan lampu isyarat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), di sini pada Isnin.