Keputusan rundingan Terengganu-Felda positif, kata SUK

Iklan
Rundingan antara kerajaan negeri Terengganu dan Felda mengenai isu tanah ladang komersial berakhir positif. Foto Bernama

KUALA TERENGGANU - Rundingan antara kerajaan negeri Terengganu dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) mengenai isu tanah ladang komersial berakhir dengan keputusan positif.

Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Zulkifli Ali berkata, rundingan antara kedua-dua pihak, yang berlangsung sejak lebih sebulan lepas, berakhir semalam.

Iklan
Iklan

"Semalam dah bincang... sudah selesai... hasil positif,” katanya kepada pemberita di majlis meraikan beliau yang akan bersara wajib pada 9 Januari ini.

Beliau juga berkata, kedua-dua pihak dijangka mengeluarkan kenyataan rasmi dalam masa terdekat.

Iklan

Sebelum ini, Terengganu mengeluarkan notis larangan menceroboh tanah yang diusahakan Felda di 10 ladang seluas kira-kira 15,000 hektar selepas mendakwa ia telah diteroka tanpa pembayaran premium, cukai atau perkongsian keuntungan selama lebih 40 tahun.

Penyerahan notis terbabit dilakukan serentak kepada pihak pengurusan ladang di Setiu, Besut, Kemaman, Marang, Dungun dan Hulu Terengganu.

Iklan

Bagaimanapun, kerajaan negeri Terengganu melanjutkan tempoh remedi kepada Felda selama sebulan sehingga esok susulan perkembangan positif hasil rundingan tersebut. - Bernama