BN tak paksa MIC kekal, kalau nak keluar terima kasih - Dr Akmal

Iklan
Dr Akmal (tengah) hadir di Program Hari Ladang Peringkat Daerah Jasin pada Rabu.

MELAKA – Barisan Nasional (BN) tidak akan memaksa MIC untuk terus kekal sebagai parti komponen sekiranya mereka memilih untuk membawa haluan sendiri. Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh bagaimanapun berkata, MIC wajar meneliti semula keputusan itu secara matang dengan mengambil kira kerjasama dalam gabungan tersebut yang telah terjalin sekian lama.

“Kalau nak tarik diri, kita tak paksa. Kalau rasa tak sesuai dalam BN, saya ucapkan terima kasih dan kamu boleh pergi.

Iklan
Iklan

“Tapi jika rasa masih sesuai, masih boleh duduk bersama dan masih seperjuangan, saya sangat mengalu-alukan. Kita bukan hanya kawan, tapi sudah seperti sebuah keluarga,” katanya ketika ditemui pada Program Hari Ladang Peringkat Daerah Jasin pada Rabu.

Katanya, yang menjadi keutamaan ialah kepentingan rakyat dan bukan pertikaian politik antara parti.

Iklan

“Keputusan (MIC keluar BN) sudah ditangguhkan, jadi saya harap MIC boleh melihat secara baik dan berbincang dengan elok. Kepentingan rakyat lebih penting daripada segala-galanya.

“Kalau MIC tetap nak keluar, saya ucap terima kasih. Kalau tak nak keluar, alhamdulillah terima kasih juga,” katanya.

Iklan

Sementara itu, ketika ditanya mengenai penglibatan MIC dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Dr. Akmal berkata, parti itu tidak turun berkempen kerana tidak meletakkan calon.

“Yang turun berkempen hanya UMNO, MCA dan PBRS (Parti Bersatu Rakyat Sabah). Tapi hubungan MIC dengan BN tetap baik. Kalau bergaduh pun, bergaduh sayang.

“Kita masih sayang, cuma harap MIC bincang secara baik, tapi kalau nak keluar juga, kita hormati keputusan itu,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan membentangkan tiga usul termasuk cadangan untuk meninggalkan BN dan membuat permohonan menyertai gabungan pembangkang.

Perhimpunan Agung Tahunan MIC ke-79 memutuskan untuk menangguhkan keputusan sama ada parti itu akan kekal dalam BN atau keluar daripada gabungan tersebut.

Bagaimanapun, Presiden MIC, Tan Sri S. A. Vigneswaran berkata, ketiga-tiga usul termasuk keluar daripada BN telah diterima dan diserahkan kepada pimpinan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC).