Sahruddin pertahan Muhyiddin tidak berbohong isu jawatan Pengerusi PN

Iklan
Sahruddin

SHAH ALAM - Selepas Ketua Setiausaha Sulit Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Marzuki Mohamad tampil menangkis dakwaan Ahli Parlimen Pagoh itu berbohong mengenai pemansuhan jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), seorang Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pula berbuat demikian.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong, Datuk Dr Sahruddin Jamal dalam kenyataan terbuka di Facebook turut menyokong pendedahan Marzuki dan menegaskan, tuduhan berkenaan digerakkan kem Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menerusi gerakan 'Muhyiddin Exit'.

Iklan
Iklan

Malah menurutnya, tuduhan terbuka seorang ketua bahagian serta aduan disiplin terhadap Muhyiddin yang dilaporkan media telah menimbulkan persepsi negatif terhadap bekas Perdana Menteri itu.

"Muhyiddin tidak berbohong. Saya ada bersama dalam pertemuan antara Muhyiddin, (Tan Sri) Abdul Hadi Awang, (Datuk Seri) Tuan Ibrahim dan (Datuk Seri) Takiyuddin di rumah Muhyiddin pada malam 16 Januari 2026.

Iklan

"Pertemuan pada malam itu diadakan untuk mencari jalan keluar kepada 'deadlock' berhubung pelantikan Pengerusi PN yang baharu," katanya dalam hantaran di laman sosial tersebut pada Ahad.

Sahruddin menjelaskan, pertemuan berkenaan memutuskan untuk memperkasakan peranan Majlis Presiden PN diketuai Muhyiddin serta menubuhkan Majlis Eksekutif PN diketuai calon dinamakan Pas, dan turut dipersetujui rakan gabungan lain.

Iklan

Oleh yang demikian ujarnya, jawatan Pengerusi PN tidak lagi diperlukan.

Selain itu, beliau yang juga bekas Menteri Besar Johor turut menggesa persetujuan itu dibincangkan dalam Jawatankuasa Teknikal mengikut proses dipersetujui pada pertemuan berkenaan.

"Ini tidak. Jawatankuasa Teknikal tidak dipanggil bermesyuarat, tetapi tiba-tiba keluar notis Mesyuarat Luar Biasa PN yang agendanya bertentangan dengan persetujuan dicapai Presiden Bersatu dan Pas, yang dipersetujui Presiden Gerakan dan MIPP.

"Kalau hendak buat keputusan sendiri, bertindak sendiri, lebih baik tidak perlu berbincang. Ini tindakan berniat jahat. Lebih jahat, proses perbincangan belum tamat tetapi menghukum Muhyiddin berbohong hanya kerana sekeping surat yang diutus oleh (Abdul) Hadi.

"Nampaknya ada orang yang sengaja 'throw spanner' kepada persetujuan yang dicapai Muhyiddin dan (Abdul) Hadi untuk kebaikan PN," katanya.