KOTA BHARU - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Machang mendesak pimpinan tertinggi memecat Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, yang didakwa tidak lagi layak berada dalam parti itu.
Ketuanya, Kamaruddin Ab Kadir berkata, penggantungan keahlian yang dikenakan ke atas Ahli Parlimen Machang itu disifatkan terlalu lunak berbanding kerosakan yang kononnya telah dilakukan terhadap parti.
“Tindakan tegas mesti diambil tanpa sebarang kompromi. Wan Ahmad Fayhsal telah berulang kali mencabar disiplin parti, mempertikai keputusan kepimpinan serta mencetuskan perpecahan di peringkat Bahagian Machang,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.
Menurut beliau, tindakan Wan Ahmad Fayhsal yang didakwa mengemukakan aduan berkaitan Pemilihan dan Persidangan Bersatu Bahagian Machang menggunakan akuan berkanun (SD) palsu merupakan kesalahan serius yang mencemarkan integriti proses demokrasi dalaman parti.
Sehubungan itu, Kamaruddin menggesa Lembaga Disiplin Bersatu supaya menyegerakan siasatan dan keputusan terhadap semua aduan yang telah dikemukakan, termasuk dakwaan penggunaan dokumen palsu berkenaan.
Katanya, isu itu tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana ia melibatkan keabsahan kepimpinan dan maruah parti.
Dalam perkembangan sama, beliau turut menuntut supaya Wan Ahmad Fayhsal digugurkan serta-merta daripada senarai Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) dan ditukar statusnya sebagai Ahli Parlimen Bebas.
Ujarnya, individu yang secara terbuka menyerang parti, mempertikai kepimpinan serta merosakkan struktur dalaman tidak wajar terus menggunakan nama dan logo PN sebagai pelindung politik.
Kamaruddin turut menegaskan pendirian bahawa Lembaga Rayuan Bersatu tidak seharusnya mempertimbangkan sebarang rayuan daripada Wan Ahmad Fayhsal serta Wan Saiful Wan Jan, yang didakwa terus menyerang kepimpinan dan institusi Presiden tanpa menunjukkan sebarang penyesalan.
“Memberi ruang rayuan kepada individu sedemikian hanya akan melemahkan disiplin dan autoriti parti,” katanya.
Menurut beliau, Bersatu bukan medan politik ugutan, manipulasi dokumen atau permainan persepsi demi kepentingan peribadi, sebaliknya perlu dipertahankan sebagai parti yang berteraskan disiplin, integriti dan kesetiaan kepada perjuangan.
“Bersatu Bahagian Machang berdiri teguh menyokong tindakan tegas bagi memulihkan maruah dan keutuhan parti.
"Jika tiada ketegasan diambil sekarang, parti akan terus dijadikan sandera oleh individu yang tidak setia,” katanya.