Kelantan umum garis panduan, syarat lengkap mendulang emas dua minggu lagi

Iklan
Kerajaan Kelantan bakal mengumumkan garis panduan dan syarat lengkap aktiviti mendulang emas dalam dua minggu lagi.

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan akan mengumumkan garis panduan dan syarat lengkap untuk menjalankan aktiviti mendulang emas di negeri ini dua minggu lagi.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, ia dijangka dibentangkan terlebih dahulu dalam mesyuarat Exco sebelum diumumkan kepada rakyat.

Iklan
Iklan

Beliau menegaskan cadangan untuk memberikan kebenaran kepada rakyat menjalankan aktiviti mendulang emas masih di peringkat penelitian dan belum dimuktamadkan.

Menurutnya, kenyataan beliau sebelum ini disalah tafsir seolah-olah kerajaan telah memberi kelulusan tanpa sebarang syarat sedangkan ia masih dalam proses perbincangan dan semakan.

Iklan

“Saya sebut kerajaan bercadang. Kerajaan akan buat syarat. Maknanya kita belum laksana lagi. Kita sedang teliti syarat, garis panduan dan perkara lain sebelum dibentangkan dalam mesyuarat Exco yang akan datang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas mesyuarat Exco di sini pada Rabu.

Mohamed Fadzli memberitahu, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) sedang menyediakan garis panduan bagi memastikan aktiviti mendulang emas dapat dibuat secara teratur tanpa menjejaskan keselamatan pendulang dan alam sekitar.

Iklan

“Kita nak mengawal selia. Kita tak mahu ia jadi aktiviti yang tak terkawal. Mendulang kita benarkan, tetapi kalau guna peralatan tertentu yang sudah dikira industri, itu tak dibenarkan. Kalau bentuk industri, mereka perlu mohon lesen melombong,” katanya.

Dalam perkembangan sama, menurut beliau, cadangan itu turut mendapat sambutan baik rakyat dan kerajaan melihat potensi menjadikan aktiviti mendulang emas sebagai produk pelancongan baharu di Kelantan.

Ujarnya, cara mendulang emas juga boleh dijadikan satu industri pelancongan di negeri ini.

"Kita nak tengok semua aspek itu. Cuma syarat belum keluar lagi, jadi saya tak mahu ulas lebih. Biar SOP diumumkan dahulu,” katanya.

Mohamed Fadzli turut menjelaskan aspek harga, pembeli dan pemantauan jumlah pendulang akan diselaraskan melalui lesen yang bakal dikeluarkan.

Beliau berkata, jika kerajaan negeri mengeluarkan lesen, pihaknya boleh mengawal siapa pembeli, harga, masa operasi dan semua perkara berkaitan aktiviti tersebut.

"Semua itu penting supaya tidak berlaku penyalahgunaan dan untuk menjaga kepentingan pendulang, kerajaan serta alam sekitar," katanya.

Mengulas mengenai kawasan mendulang emas, ujar beliau, banyak lokasi telah dikenal pasti, namun tidak semuanya sesuai kerana sesetengah deposit memerlukan perlombongan berskala industri.

Tambahnya, perlombongan emas tidak mudah kerana memerlukan kos yang tinggi dan setakat ini kerajaan negeri telah mengeluarkan 20 lesen tetapi yang aktif hanya empat, manakala yang beroperasi berskala besar cuma satu.

Beliau turut mengalu-alukan syarikat tempatan yang berkemampuan untuk menyertai industri itu.

“Kita terbuka kalau ada syarikat bumiputera yang betul-betul mampu. Silakan. Cuma setakat ini tidak banyak yang benar-benar boleh melaksanakan perlombongan besar,” katanya.