KUALA LUMPUR - Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menerima zakat perniagaan RM7,467, 019.06 juta daripada 19 koperasi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, setakat Oktober tahun ini RM817.8 juta kutipan zakat berjaya diraih PPZ- MAIWP.
Menurutnya, ia mencatat peningkatan sebanyak sembilan peratus berbanding RM747.1 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
“Daripada jumlah ini, sebanyak RM122.3 juta adalah bayaran zakat perniagaan syarikat-syarikat daripada pelbagai sektor termasuk koperasi.
“Menghampiri hujung tahun, saya yakin dan percaya bahawa angka ini akan terus meningkat.
“Oleh itu, diharapkan agar lebih banyak koperasi turut sama menunaikan zakat perniagaan di PPZ-MAIWP dalam memastikan kebajikan para asnaf di Wilayah Persekutuan dapat terus terpelihara,” katanya pada Majlis Zakat Koperasi 2025.
Teks ucapan beliau dibaca Pengerusi PPZ-MAIWP, Datuk Seri Amrin Awaluddin di sini pada Selasa.
Tambah beliau, ibadah zakat bukan sahaja memenuhi tanggungjawab agama tetapi amanah sosial yang memberi kesan langsung kepada mereka yang kurang bernasib baik.
Jelasnya, ini kerana zakat menjadi 'tali' untuk menarik golongan itu keluar daripada tekanan hidup yang dihadapi.
“Ramai dalam kalangan asnaf di luar sana bukanlah berada terlalu jauh dari kita bahkan mungkin berkongsi jalan sama setiap hari.
“Ini yang dipanggil sebagai fenomena miskin bandar. Mereka mungkin sudah bekerja, usaha bersungguh-sungguh namun pendapatan yang diraih masih belum mampu menampung kos kehidupan seharian.
“Terima kasih kepada mereka yang berkongsi rezeki melalui pembayaran zakat perniagaan hari ini. Keistimewaan wakaf ini begitu besar kerana ALLAH menjanjikan ganjaran pahala yang berterusan dan mengalir kepada pewakaf selama-lamanya,” ujarnya.