KUALA LUMPUR - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menegaskan kapasiti depot tahanan adalah mencukupi bagi menampung jumlah tahanan pendatang asing tanpa izin (PATI) di seluruh negara.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, buat masa ini jumlah kapasiti sebenar yang boleh ditempatkan di 21 depot di seluruh negara adalah seramai 21,530 tahanan.
Menurutnya, setiap hari terdapat tangkapan dan masa sama terdapat PATI yang diusir.
"Jadi data akan turun naik. Tetapi kita kena pastikan depot sentiasa mempunyai kapasiti supaya tindakan penguatkuasaan tidak perlu berhenti.
“Setakat ini, seramai 21,092 PATI ditahan dalam depot di seluruh negara manakala jumlah pengusiran setakat ini adalah 50,419 orang," katanya katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Deepavali Peringkat JIM Kuala Lumpur di sini pada Selasa.
Turut hadir Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff.
Kata Zakaria, PATI yang paling ramai dalam depot ialah warga Myanmar iaitu 8,884 orang termasuk 5,102 etnik Rohingya diikuti dengan Filipina (4,727 orang) dan Indonesia (3,838 orang).
Mengulas berhubung isu pelarian termasuk Rohingya, Zakaria berkata, kerajaan di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN) mempunyai satu dasar khusus yang kini dalam peringkat untuk mendaftarkan mereka melalui inisiatif Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) sebagai usaha bagi mendapatkan jumlah sebenar pelarian di negara ini.
“Kita bergantung kepada data di bawah Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) jadi tidak dapat dipastikan sama ada data dikeluarkan itu tepat atau tidak.
“Mengikut pemerhatian, kemungkinan lebih daripada apa yang dilaporkan oleh UNHCR kepada kita. Jadi kerajaan mengambil keputusan untuk melakukan pendaftaran semula semua pelarian termasuk Rohingya ini dan kita mempunyai hala tuju seterusnya selepas pendaftaran ini,” katanya.
Menurutnya, sebahagian pelarian didapati memegang kad UNHCR, namun sebahagiannya tiada dokumen.
"Ada yang ditahan, kita buat pengesahan sama ada kad itu tulen atau tidak dengan pihak UNHCR.
“Sekiranya didapati kad itu palsu, mereka akan terus ditahan di depot-depot imigresen," ujarnya.