ISKANDAR PUTERI - Johor kini berada di landasan kukuh untuk mencapai sasaran pelaburan RM100 bilion tahun ini apabila berjaya merekodkan pelaburan RM91.1 bilion setakat suku ketiga 2025.
Exco Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia, Lee Ting Han berkata, prestasi Johor mengatasi negeri lain termasuk Selangor iaitu RM51.9 bilion, Wilayah Persekutuan (RM45.9 bilion) dan Pulau Pinang (RM23.7 bilion).
“Setakat suku kedua tahun ini, Johor merekodkan komitmen pelaburan RM56 bilion dan kini meningkat kepada RM91.1 bilion bagi suku ketiga.
“Kami yakin Johor berada di landasan untuk mencapai sasaran RM100 bilion pada 2025, sekali gus mengatasi jumlah gabungan dua tahun sebelumnya iaitu RM43 bilion (2023) dan RM48.5 bilion (2024),” katanya ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar pada Selasa.
Ting Han (BN - Paloh) berkata demikian sebagai menjawab soalan Tan Eng Meng (BN-Pekan Nanas) mengenai perancangan promosi pelaburan antarabangsa pasca misi ke United Kingdom dan Amerika Syarikat.
Beliau berkata, pencapaian luar biasa itu membuktikan misi pelaburan antarabangsa bukan sekadar lawatan diplomatik, tetapi membawa pulangan ekonomi segera dan nyata kepada negeri.
Menurutnya, antara langkah susulan yang dirangka termasuk lawatan balas pelabur, penyertaan dalam forum pelaburan global, serta pengukuhan jaringan diplomatik pelaburan bersama agensi luar negara.
“Beberapa syarikat yang ditemui semasa misi ke United Kingdom dan Amerika Syarikat telah menyatakan minat untuk hadir ke Johor pada suku pertama 2026 bagi meninjau tapak industri dan membincangkan potensi pelaburan lebih terperinci.
“Kita juga mengadakan taklimat bersama MIDA Overseas Centres pada 27 Oktober lalu bagi menyelaraskan naratif promosi Johor, termasuk kekuatan JS-SEZ, infrastruktur industri dan tenaga kerja berkemahiran,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai misi ke AS, beliau berkata delegasi Johor bukan sahaja berjaya menarik minat pelabur tetapi turut memperoleh pendedahan penting mengenai rantaian nilai teknologi dan kecerdasan buatan global.
Delegasi turut berpeluang berinteraksi dengan syarikat teknologi terkemuka seperti NVIDIA, Brooks Automation, Pivotal Systems, SuperMicro dan Equinix selain melakukan lawatan ke OpenAI.
“Lawatan ke universiti seperti Stanford, Harvard dan MIT membuka peluang kerjasama strategik dalam penyelidikan dan pembangunan bakat. Pendedahan ini menjadi asas penting dalam perancangan strategi AI Johor,” katanya.
Beliau berkata, pada Disember ini, kerajaan negeri akan mengadakan misi galakan pelaburan dan kerjasama pendidikan ke China, dengan fokus kepada syarikat dalam sektor robotik, automasi, AI, bioteknologi dan teknologi tenaga bersih selain mengukuhkan jaringan perdagangan serta hubungan akademik antara institusi pendidikan kedua-dua negara.