JOHOR BAHRU – [DIKEMAS KINI] Tren Ekspres Selatan (ES) yang menamatkan operasinya selepas sembilan tahun berkhidmat pada hari terakhir 2025, meninggalkan kenangan tersendiri buat penumpang setianya, termasuk bekas kakitangan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
Bagi Halim Said, 63, yang pernah bekerja sebagai pembantu trafik di KTMB Gemas Negeri Sembilan, tidak melepaskan peluang menaik tren ES terakhir dari Stesen Keretapi JB Sentral pada jam 6.05 petang.
Ditemani isteri Nor Aini senawi 52, mereka bertolak dari rumah mereka di Gemas seawal jam 7.40 pagi dengan menaiki kereta api dan tiba di Stesen Keretapi JB Sentral pada 12 tengah hari.
Akuinya, hari terakhir perkhidmatan tren ES cukup menyentuh perasaan kerana terlalu banyak kenangan sepanjang berkhidmat selama 37 tahun bersama KTMB.
"Saya antara kakitangan KTMB yang berada dalam tren terakhir dari Tanjong Pagar, Singapura dipandu Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang kini Yang Dipertuan Agong pada 30 Jun 2011.
"Kali ini, saya juga menjadi penumpang terakhir tren ES yang akan menamatkan perkhidmatannya," ujarnya ketika ditemui di Stesen Keretapi JB Sentral.
Menurut Halim, penamatan perkhidmatan tren ES bukan sekadar perubahan sistem pengangkutan, sebaliknya menutup satu lembaran sejarah penting yang pernah menjadi nadi perhubungan utama ke selatan tanah air.
Dalam pada itu, penumpang Muhd Arifuddin Sahak, 40, bersama isterinya Sharifah Norliza Wan Mohammad, 40, bersama serta anak mereka Muhammad Iman, 9 tahun, sanggup menaiki kereta api dari Gemas semata-mata untuk menaiki tren terakhir perkhidmatan ES.
Arifuddin yang tinggal di Seremban berkata keputusan menaiki tren tersebut kerana mahu merasai pengalaman menaiki kereta api bersama anaknya.
"Perjalanan dengan tren memberikan ketenangan tersendiri apabila penumpang dapat menikmati pemandangan alam sepanjang laluan tanpa gangguan," katanya.
Dalam pada itu, Pengurus Kanan Wilayah Selatan KTMB, Salim Misdi berkata, penamatan perkhidmatan berkenaan bukan sekadar berakhirnya operasi sebuah tren, sebaliknya melambangkan transformasi sistem rel negara seiring kesiapsiagaan infrastruktur baharu di bawah Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas–Johor Bahru.
“Sepanjang hampir sembilan tahun beroperasi, Ekspres Selatan memainkan peranan penting dalam menghubungkan Gemas dan Johor Bahru serta menjadi pilihan utama rakyat selatan bagi urusan kerja, pendidikan dan perjalanan harian.
"Seiring siapnya infrastruktur rel elektrik berkembar, KTMB kini mengoptimumkan penggunaan sistem moden dengan menstruktur semula perkhidmatan, di mana Ekspres Selatan akan digantikan sepenuhnya dengan perkhidmatan Tren Elektrik (ETS).
"Dengan pengoperasian ETS3 hingga ke JB Sentral, KTMB menyasarkan kapasiti keseluruhan sekitar 3,340 penumpang sehari bagi laluan merentasi sektor selatan dan utara.
"Sasaran ini diterjemahkan kepada anggaran sekitar 1.2 juta penumpang setahun. Ia selaras unjuran peningkatan permintaan perjalanan antara Johor, Lembah Klang dan destinasi utara," katanya.