JOHOR BAHRU – Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) akan memanfaatkan 25 unit kamera litar tertutup (CCTV) mudah alih berkuasa solar bagi memperketatkan penguatkuasaan terhadap aktiviti pembuangan sampah haram di kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi panas (hotspot).
Menurut Datuk Bandar Johor Bahru, Mohd Hafiz Ahmad, CCTV yang diterima daripada Kementerian Digital tersebut akan ditempatkan secara berperingkat di lokasi berisiko tinggi, selain melengkapi dua unit sedia ada milik MBJB.
"CCTV mudah alih itu turut dilengkapi pembesar suara bagi membolehkan amaran dikeluarkan secara terus kepada individu yang dikesan melakukan kesalahan.
"Sekali gus, ia membantu dan bertindak dari segi pencegahan awal terhadap pembuangan sampah di kawasan terbabit.
“Penggunaan CCTV ini telah menunjukkan keberkesanan apabila berjaya mengurangkan kes pembuangan sampah haram di beberapa kawasan sebelum ini,” katanya.
Mohd Hafiz berkata demikian pada sidang akhbar sempena Mesyuarat Penuh MBJB di Menara MBJB pada Selasa.
Tambah Mohd Hafiz, maklumat dan rakaman CCTV berkenaan akan dikongsikan bersama pihak SWM Environment Sdn Bhd (SWM Corp) bagi membantu pelaksanaan tindakan penguatkuasaan.
"Kita akan serahan rakaman kepada pihak SWM Corp, terutamanya bagi urusan pengeluaran kompaun mengikut peruntukan undang-undang sedia ada," katanya.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Mohd Hafiz berkata, MBJB tidak akan mengeluarkan lesen kepada mana-mana premis bagi penjualan rokok elektronik (vape).
"Sekiranya dikesan ada (premis) yang beroperasi secara haram, tindakan penutupan akan dibuat," katanya.