JOHOR BAHRU - Keluarga kepada murid yang menghidap kegagalan fungsi hati, Anaqi Mikhael Mohamad Sharafi, 9, menarik nafas lega apabila dana yang diperlukan bagi menjalani pembedahan pemindahan hati akhirnya berjaya dikumpulkan sepenuhnya.
Menurut ibunya, Syahira Sarbini, 33, wang sejumlah RM180,000 yang diperlukan bagi pembedahan anak sulungnya itu telah mencukupi hasil sumbangan pelbagai pihak.
Malah katanya, ia merupakan khabar paling gembira buatnya sekeluarga bagi menyambut ketibaan tahun baharu 2026.
“Alhamdulillah, kami amat bersyukur sangat kerana akhirnya dana yang diperlukan untuk pembedahan Anaqi mencukupi.
"Terima kasih semua kerana sumbangan ini cukup bermakna untuk menyelamatkan nyawa anak kami,” katanya kepada pemberita.
Syahira berkata demikian setelah menerima replika cek sumbangan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) yang disampaika oleh Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid, di Bilik Gerakan Tun Abdul Razak, Bangunan Sultan Ibrahim, di sini pada Khamis.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Asman Shah Abd Rahman dan Penasihat MAINJ, Datuk Nooh Gadot.
Difahamkan, pembedahan pemindahan hati itu dijangka mengambil masa kira-kira lapan jam dan Anaqi hanya dibenarkan pulang setelah keadaannya benar-benar stabil.
Untuk rekod, Anaqi yang juga murid SK Kangkar Pulai 2 disahkan menghidap Biliary Atresia sejak 2018 dan pernah menjalani prosedur Kasai bagi melambatkan kerosakan hati.
Pada April lalu, doktor memaklumkan keadaannya semakin merosot dan memerlukan pembedahan pemindahan hati dalam tempoh terdekat.
Tambah Syahira, keluarganya kini menunggu maklum balas daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Biliary Atresia Malaysia Association (BAMA) bagi mendapatkan tarikh pembedahan yang akan dijalankan di Renji Hospital Shanghai Jiaotong University School of Medicine di China.
Katanya, segala urusan berkaitan pembedahan telah dilengkapkan dan pihak hospital hanya menantikan kehadiran Anaqi bersama penderma hati, iaitu ibu saudaranya, Siti Saleha Mokhtar, 41.
“Suami saya, Mohamad Sharafi, 33, akan mengiringi Anaqi ke sana dan kami juga akan ditemani sukarelawan BAMA bagi membantu urusan sepanjang berada di China.
"Buat masa ini, keadaan kesihatan Anaqi masih tidak banyak berubah, termasuk bergantung kepada bantuan oksigen dan cepat keletihan.
“Tempoh rawatan bagi pesakit Biliary Atresia kebiasaannya antara dua minggu hingga 40 hari, manakala penderma mungkin dibenarkan pulang lebih awal,” ujarnya.
Syahira turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) dan BAMA serta semua pihak yang tampil membantu dan mendoakan kesejahteraan anaknya.
Sementara itu Mohd Fared berkata, MAINJ menyalurkan bantuan sebanyak RM125,000 bagi kos pembedahan selain sebuah beg oksigen mudah alih bernilai RM17,000 bagi membantu keperluan Anaqi.
“Amanah ini adalah merupakan hasil sumbangan pembayar zakat dan kami berharap ia akan dapat melancarkan usaha bagi menyelamatkan nyawa kanak-kanak ini serta dan seterusnya membantu memberikanmasa depan yang lebih cerah," katanya.