KUALA LUMPUR – Seramai 13,679 jurutera dan tenaga mahir teknikal berjaya dilatih, diperakui kemahiran serta diserap ke dalam pelbagai segmen industri semikonduktor sejak pelancaran Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSS) pada Mei 2024 sehingga sekarang.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Liew Chin Tong berkata, pencapaian itu menandakan Malaysia berada di landasan yang kukuh untuk mencapai sasaran 60,000 bakat berkemahiran tinggi menjelang tahun 2030.
“Ia merangkumi bidang reka bentuk litar bersepadu, pembungkusan termaju, fabrikasi wafer serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkaitan.
“Antara universiti yang terlibat dalam usaha ini adalah Universiti Sains Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Teknikal Malaysia dan Universiti Malaysia Perlis,” kata ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Ir Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) berhubung jumlah jurutera berkemahiran tinggi yang telah dilatih dan diserap ke industri semikonduktor sejak pelancaran NSS serta tahap kerjasama pembuat cip multinasional dengan universiti awam bagi memenuhi keperluan tenaga kerja industri tersebut.
Menurut Chin Tong, pusat kemahiran yang terbabit dalam usaha tersebut pula seperti Malaysian Institute of Microelectronic Systems Berhad (MIMOS), Advanced Semiconductor Academy of Malaysia (ASEM) - SIDEC, Penang Skills Development Centre (PSDC), Penang Chip Design Academy - InvestPenang, SMD Chip Design Centre and Academy, Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) dan Kedah Industrial Skills and Management Development Centre (KISMEC).
Ujarnya, agensi di bawah MITI, Pusat Penyelidikan Kolaborasi Kejuruteraan, Sains dan Teknologi (CREST) bersama HRD Corp juga telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) pada 24 Julai lalu bagi membentuk perkongsian strategik dalam pembangunan bakat di bawah kerangka NSS.
“Melalui kerjasama ini, Program Engineering Talent for Semiconductor Industry (ETSI) yang diterajui oleh CREST menyasarkan untuk meningkatkan kemahiran 15,000 pelajar institusi pengajian tinggi, graduan, pekerja industri dan penyelidik, bagi memacu inovasi serta memperkukuh daya saing global Malaysia.
“Inisiatif lain termasuk MyMAHIR Future Skills Talent Council (FSTC) yang ditubuhkan oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui TalentCorp bagi sektor Elektrik dan Elektronik (E&E), dengan objektif untuk menjajarkan pembangunan bakat dengan keperluan industri semikonduktor,” jelasnya.
Chin Ting berkata, beberapa syarikat multinasional utama dalam bidang reka bentuk cip, fabrikasi dan ujian pula aktif menjalin kolaborasi strategik dengan universiti awam.
Tambah beliau, kerjasama tersebut melibatkan pembangunan kurikulum berasaskan industri, penyediaan makmal berteknologi tinggi, program sandaran latihan industri serta usaha bersama dalam penyelidikan gunaan yang berfokus kepada teknologi semikonduktor generasi baharu.
“Pendekatan ini bukan sahaja memastikan kelestarian rantaian tenaga kerja mahir, malah meningkatkan keupayaan Malaysia untuk menjadi hab serantau dalam pembangunan modal insan semikonduktor bertaraf global,” katanya lagi.