SHAH ALAM - Pertembungan sengit hingga 14 penjuru di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tulid pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 memberi isyarat ketidakstabilan di negeri berkenaan kerana masih berdepan krisis penyatuan politik.
Penganalisis politik dari Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfiq Yaakub berkata, keadaan itu juga memperlihatkan perpecahan politik serius dalam kalangan pengundi di Sabah dan tidak wujud persefahaman kolektif yang boleh menyatukan pemimpin dalam parti atau gabungan politik yang minimum.
“Saya tidak khuatir apabila ramai bertanding atas tiket Bebas, namun saya bimbang dengan terlalu banyak parti yang agresif sehingga menyukarkan penyatuan dalam politik. Politik sepatutnya menjadi wadah atau platform penyatuan tetapi sekiranya mencetuskan perbezaan yang merugikan maka pengundi dan rakyat akan menjadi mangsa.
“Namun saya yakin, semua rakyat Malaysia khususnya Sabah perlu meraikan situasi ini dan saya percaya ramai calon dan parti yang bertanding di Sabah dalam PRN17 ini masih dalam lingkungan semangat politik tempatan dan tidak akan merosakkan hubungan antara satu sama lain khususnya melibatkan perpaduan yang berterusan,” katanya.
PRN17 Sabah yang membuka tirai pada Sabtu mencipta sejarah apabila seramai 596 calon bertanding, jumlah paling tinggi dalam sejarah pilihan raya negeri itu.
Lebih menarik, tiada berlaku pertembungan dua penjuru sebaliknya paling sedikit adalah empat penjuru di dua kerusi, sementara 22 kerusi membabitkan pertembungan 10 penjuru dan ke atas serta paling tinggi ialah 14 penjuru.
Sementara itu, menjawab sama ada persaingan yang terlalu ramai berkenaan akan menyebabkan majoriti mudah menjadi mustahil atau meningkatkan risiko kerajaan rapuh, Mohammad Tawfiq tidak menolak kemungkinan tersebut.
“Bagi saya memang agak sukar untuk mana-mana gabungan atau parti mendapat majoriti dominan atau dua pertiga, namun tidak mustahil boleh berlaku kerjasama politik bagi membentuk kerajaan,” katanya.
Ujarnya, bilangan calon yang luar biasa ramai bukan asas utama menentukan kestabilan dan pembentukan kerajaan Sabah selepas PRU17 ini tetapi pemimpin gabungan menang sebenarnya adalah kunci yang menentukan kestabilan kerajaan negeri berkenaan.
“Calon yang ramai belum tentu menjadi keutamaan pengundi kerana pelbagai elemen lain akan menjadi taruhan dan pilihan rakyat iaitu pengalaman parti diwakili calon, prestasi calon, hubungan kekeluargaan dan tawaran yang boleh memberi manfaat kepada mereka selepas pilihan raya,” katanya.
Sementara itu, Felo Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Madya Dr Bilcher Bala berkata, dengan pertembungan banyak penjuru itu, beliau tidak menolak berlaku pecahan undi ekstrem yang menyaksikan kemungkinan kemenangan hanya dicapai pada kadar 10-15 peratus.
“Pertembungan sehingga 14 penjuru di beberapa kerusi DUN Sabah menunjukkan bahawa undi akan tersebar secara meluas antara calon parti besar, parti kecil dan calon Bebas. Dalam konteks teori pilihan raya, apabila jumlah calon meningkat, pemecahan undi menjadi lebih ketara menyebabkan tiada satu pihak mampu menguasai sokongan besar.
“Situasi ini memungkinkan kemenangan dengan hanya 10–15 peratus undi kerana calon yang memperoleh sokongan paling tinggi tidak semestinya mewakili majoriti pengundi, tetapi sekadar kepelbagaian. Hal ini menimbulkan dilema legitimasi politik kerana wakil rakyat yang menang mungkin tidak mencerminkan kehendak majoriti, sebaliknya hanya hasil pecahan undi ekstrem,” katanya.
Beliau dalam masa sama menjangkakan, tiada parti memperoleh majoriti mutlak, malah kemungkinan besar wujud keadaan ‘dewan tergantung’ yang memerlukan rundingan pasca pilihan raya.
Ini kerana katanya, dengan 596 calon daripada pelbagai parti dan bebas, landskap politik Sabah menjadi sangat kompleks, dipengaruhi isu kos sara hidup, tuntutan hak Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta hubungan dengan Persekutuan.
“Fenomena banyak penjuru ini menjadikan keputusan PRN sangat tidak dapat dijangka kerana walaupun parti besar seperti BN, PH, Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Parti Warisan (Warisan) atau Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) mempunyai jentera kukuh, mereka tetap berdepan risiko kehilangan kerusi akibat pecahan undi yang beri ruang kepada calon Bebas atau parti kecil,” katanya.