KUANTAN - Masalah perparitan dan isu banjir kilat di Taman Indera Sempurna yang disuarakan wakil penduduk dalam sesi Townhall Rakyat Sinar Harian pada 11 November lalu mendapat perhatian segera Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Wan Rosdy berkata, rentetan daripada aduan itu, sesi lawatan tapak isu saliran dan banjir Taman Indera Sempurna telah dilakukan pada Sabtu.
Menurutnya, lawatan tapak dilakukan hanya selepas empat hari aduan diterima itu diketuai Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Nazri Abu Bakar.
"Fokus utama lawatan itu untuk meneliti kerosakan dan permasalahan pada longkang utama serta masalah banjir berulang yang menjejaskan penduduk setempat," katanya melalui hantaran di Facebooknya.
Wan Rosdy menjelaskan, beberapa tindakan telah diambil pihak berwajib dalam menangani masalah itu.
"Insya-ALLAH, segala permasalahan yang dihadapi penduduk Taman Indera Sempurna dapat diselesaikan dalam masa terdekat," ujarnya.
Sementara itu, berdasarkan kenyataan dimuat naik di Facebook Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang, status tindakan yang akan dilaksanakan termasuk kerja pembersihan longkang tanah sepanjang kira-kira 2.2 kilometer.
Menurut kenyataan itu, kerja-kerja tersebut akan dilaksanakan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) mulai Isnin ini dan dijangka mengambil masa selama empat minggu.
"Kerja pembersihan kolam takungan fasa 3A juga akan dilaksanakan MBK dan dijangka siap dalam tempoh empat minggu.
"Pembersihan kolam takungan Indera Sempurna (Perumahan Fasa 5) pula sedang dijalankan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
" Projek yang bermula pada 7 November lalu itu dijangka siap pada 20 November depan," menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan Pejabat SUK Pahang itu lagi, kerja pembersihan longkang berhampiran Stesen Minyak Petron akan dilaksanakan MBK melalui Alam Flora.
"Setiausaha Kerajaan Pahang turut mengarahkan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Pahang supaya melaksanakan kerja pembersihan segera longkang monsun di hadapan Stesen Petron (bersebelahan Jalan Persekutuan)," jelasnya.
Pada Townhall Rakyat baru-baru ini, wakil penduduk menyuarakan terus permasalahan dihadapi itu kepada Wan Rosdy meminta agar isu yang berterusan itu diatasi segera.
Dakwanya, penduduk membeli rumah di kawasan itu dengan nilaian antara RM350,000 hingga RM400,000 namun setiap kali hujan lebat dalam tempoh dua hingga tiga jam, mereka terpaksa berdepan banjir kilat.
Masalah itu didakwa berpunca daripada sistem perparitan dan kolam tadahan hujan yang tidak diselenggara