SHAH ALAM - Isu melibatkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) termasuk gangguan perkhidmatan Aerotrain dan terbaharu kejadian kebocoran bumbung perlu ditangani segera memandangkan Tahun Melawat Malaysia 2026 semakin hampir.
Gesaan itu dibuat Ahli Parlimen Subang, Wong Chen menerusi hantaran di Facebooknya pada Sabtu dengan turut memuat naik beberapa laporan berita mengenai insiden berkenaan.
"Tahun Melawat Malaysia 2026 semakin hampir. Kita perlu segera melakukan sesuatu yang lebih penting tentang keadaan KLIA, lapangan terbang pintu masuk pelancong antarabangsa," kata ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.
Sinar Harian pada Jumaat melaporkan, berlaku insiden kebocoran air akibat ribut yang menjejaskan beberapa bahagian KLIA Terminal 1.
Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menerusi kenyataan memaklumkan, kebocoran bumbung berpunca kesilapan dan kecuaian kontraktor mematuhi prosedur ketika kerja pemulihan dilakukan di kawasan terbabit.
Sebelum ini, beberapa insiden gangguan Aerotrain dilaporkan berlaku sejak Julai lalu sehingga mengundang kemarahan ramai.
Susulan itu, MAHB memperincikan pelan tindakan komprehensif (CAP) bagi meningkatkan kebolehpercayaan sistem perkhidmatan Aerotrain di Terminal 1 KLIA, satu langkah strategik dalam tempoh liabiliti kecacatan (DLP) yang bermula 1 Julai 2025 hingga 30 Jun 2027.