Etika, RCM lancar inisiatif Pengurusan Sisa Semporna

Iklan
Dari kiri: Pengurus Projek Marea, Ahmad Zhafri Samsudin; Naib Presiden Pemasaran Etika Sdn Bhd, Amy Gan; bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Etika, T S Santharuban; Dr Dayang Siti Maryam Mohd Hanan dari KePKAS; Ketua Pegawai Eksekutif Reef Check Malaysia (RCM), Julian Hyde; Ketua Pegawai Operasi RCM, Theresa Ng; wakil Kampung Sri Aman, Hassan Gabra Hajan serta Penolong Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Semporna, Samsiah Sabdan ketika merasmikan majlis pelancaran Program Pengurusan Sisa Semporna pada Selasa. Foto Etika Sdn Bhd

KUALA LUMPUR - Etika Sdn Bhd dengan kerjasama Reef Check Malaysia (RCM) dan sokongan Malaysian Recycling Alliance (Marea) melancarkan Pengurusan Sisa Semporna, sebuah inisiatif perintis bagi mewujudkan sistem pengurusan sisa berasaskan komuniti di Kampung Sri Aman, Semporna.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Etika, T S Santharuban berkata, program itu penting untuk dilaksanakan bagi menangani isu berpanjangan di Semporna iaitu kelemahan dalam pengurusan sisa dan pencemaran plastik hingga menjejaskan kehidupan masyarakat setempat serta ekosistem marin.

Iklan
Iklan

Selain itu, menurut beliau, projek pengurusan sisa di kampung tersebut bertujuan membangunkan model pengurusan yang tersusun dan mampan agar ia boleh dijadikan contoh serta dilaksanakan di kawasan pesisir pantai lain.

“Ini memberi peluang kepada kami untuk menawarkan penyelesaian yang praktikal dan memberi kesan nyata kepada cabaran dihadapi komuniti setempat.

Iklan

"Kelestarian mampu dicapai jika masyarakat turut diberi peranan dan melalui kerjasama dengan pihak tempatan, kami berharap dapat mewujudkan impak jangka panjang yang bermakna.

"Melalui inisiatif ini, Etika akan memberi sokongan menyeluruh daripada pelaksanaan audit sisa dan penyediaan infrastruktur hinggalah latihan serta penglibatan komuniti bagi memupuk kelestarian jangka panjang," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Iklan

Inisiatif itu turut mendapat sambutan positif daripada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) termasuk agensi kerajaan lain seperti Pejabat Daerah dan Majlis Daerah Semporna (MDS).

Selain menangani cabaran pengurusan sisa, KePKAS memaklumkan, program itu secara langsung menyokong pemeliharaan keindahan semula jadi dan kepelbagaian biologi yang mampu menjadikan Sabah destinasi pelancongan bertaraf dunia.

Katanya lagi, kerjasama sedemikian dapat membina asas kukuh bagi inisiatif pelancongan ekologi dan usaha pemuliharaan yang dilaksanakan di seluruh negeri pada masa hadapan.

Tambahnya, projek berkenaan menyasarkan 99 isi rumah di Kampung Sri Aman dilengkapi tong sisa menjelang akhir tahun 2028 dan 90 peratus daripadanya mengambil bahagian secara aktif dalam aktiviti pengasingan sisa.

"Dalam jangka panjang, program ini berhasrat untuk mengalihkan lebih 10,000 kilogram (kg) sisa daripada persekitaran," ujar kementerian negeri itu lagi.

Sementara itu, Pengurus Program RCM, Adzmin Fatta berpendapat bahawa usaha ini langkah penting dalam mempromosikan pengurusan sisa lestari serta penyelesaian dipacu komuniti.

“Projek Kampung Sri Aman menunjukkan kepentingan polisi pengurusan sisa yang tersusun dan pelaksanaan berasaskan komuniti.

"Dengan menjalankan sistem praktikal di peringkat tempatan, ada model yang boleh dijadikan rujukan bagi strategi kerajaan, menyokong rangka kerja peraturan serta membimbing program untuk komuniti lain yang berdepan cabaran serupa pada masa hadapan.

"Selain memberi manfaat kepada alam sekitar, program ini juga membuka peluang pekerjaan buat penduduk kampung yang terlibat selaku pengutip dan penyelaras sisa," jelas Adzmin.

Difahamkan, bahan yang dikumpul akan dihantar ke pusat pengumpulan untuk 'recycle' dan keuntungan daripadanya disalurkan semula bagi memperkukuh inisiatif pengurusan sisa serta kitar semula komuniti.