40 peratus hasil Sabah: Rundingan pertama kerajaan Persekutuan - Sabah Isnin depan

Iklan
Armizan (tengah) ketika sidang media mingguan pasca mesyuarat Kabinet di sini pada Jumaat.

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Rundingan pertama antara kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah berhubung hak tuntutan 40 peratus hasil bersih Sabah akan berlangsung di Menara Kinabalu Isnin depan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali berkata, rundingan akan dimulakan di peringkat pegawai yang diketuai Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) Datuk Johan Mahmood Merican bagi pihak Kerajaan Persekutuan.

Iklan
Iklan

"Bagi Kerajaan Sabah, ia diwakili Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Safar Untong memandangkan kerajaan Sabah ketika ini berada di bawah 'caretaker'," katanya ketika sidang akhbar mingguan pasca mesyuarat Kabinet di sini pada Jumaat.

Selasa lalu, kerajaan Persekutuan memutuskan untuk tidak membuat rayuan terhadap Pemberian Khas Negeri Sabah berdasarkan 40 peratus hasil sebagaimana diputuskan dalam Permohonan Semakan Kehakiman yang difailkan oleh Sabah Law Society terhadap Kerajaan Malaysia.

Iklan

Bagaimanapun Jabatan Peguam Negara (AGC) menjelaskan kerajaan hanya merayu terhadap sebahagian daripada keputusan mahkamah, khususnya berkaitan beberapa kekhilafan dalam Alasan Penghakiman Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober lalu memutuskan Kerajaan Persekutuan mempunyai kewajipan untuk mengadakan semakan dan membayar semula Hak Tuntutan 40 peratus hasil bersih yang diperoleh dari Sabah mengikut Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

Iklan

Mahkamah membenarkan permohonan SLS dan mengarahkan Kerajaan Persekutuan untuk mengadakan semakan kadar pemberian khas tersebut dalam tempoh 90 hari dan mencapai persetujuan pembayaran dalam tempoh 180 hari dari tarikh perintah dikeluarkan.

Mahkamah turut membatalkan sebahagian keputusan yang terkandung dalam tiga Warta Persekutuan, masing-masing bertarikh 20 April 2022, 24 Disember 2023 dan 27 Ogos 2025 kerana didapati bercanggah dengan kedudukan Perlembagaan mengenai pemberian khas Sabah.

Sementara itu dalam perkembangan sama, Jurucakap Kerajaan Datuk Fahmi Fadzil berkata, mesyuarat Kabinet bersetuju bahawa Armizan sebagai wakil Menteri Kabinet Persekutuan dari Sabah bagi Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 yang sebelum ini disandang Datuk Ewon Benedick.

Ditanya mengenai status Ewon yang telah menghantar surat perletakan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Fahmi berkata, status Ewon adalah bercuti.

"Boleh rujuk dengan Pejabat Pendana Menteri, saya tak ada angka yang tepat (jumlah hari Ewon bercuti), tetapi ada ditanya dalam mesyuarat tadi," jelas beliau.

Ewon yang juga Presiden UPKO telah menyerahkan surat perletakan jawatan berundur dari Kabinet pada Isnin lalu susulan ketidaksefahaman dengan pendirian AGC berkaitan hak 40 peratus hasil Persekutuan daripada Sabah.