Niat temani anak, warga emas raih PhD pada usia 74 tahun

Iklan
Mohamad Nawawy (tengah) bersama isteri serta keluarga selepas berjaya menamatkan pengajian di peringkat PhD. - Foto UMPSA

KUANTAN – Niat untuk menemani anak sulungnya menuntut ilmu mendorong warga emas mencipta kejayaan sendiri apabila berjaya menamatkan pengajian Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) pada usia 74 tahun.

Dr Mohamad Nawawy Jusoh berkata, semuanya bermula pada tahun 2015 apabila beliau bersama anaknya, Dr Norhidayah mendaftar sebagai pelajar PhD di UMPSA.

Iklan
Iklan

“Saya hanya berniat untuk teman anak dan beri semangat kepadanya tapi tidak sangka, niat itu membawa kepada satu perjalanan ilmu yang mengubah seluruh kehidupan saya,” katanya.

Anak kelahiran Pasir Puteh, Kelantan itu percaya pendidikan adalah pelaburan terbaik dan beliau sentiasa berpegang kepada prinsip bahawa ilmu adalah cahaya yang tidak pernah padam.

Iklan

Bagaimanapun, Mohamad Nawawy mengakui menjalani pengajian pada usia emas bukan sesuatu yang mudah kerana tenaga dan daya ingatan sudah tidak seperti dulu.

“Kadang-kadang saya perlu baca bahan berulang kali untuk nak faham, tapi saya percaya dengan doa, kesabaran dan disiplin, tiada halangan yang tidak boleh diatasi,” katanya.

Iklan

Beliau menambah, Norhidayah juga banyak membantu beliau dari segi bimbingan akademik dan semangat.

“Kami selalu meluangkan masa bersama dan berkorban apa sahaja demi memenuhi tuntutan menjadi seorang penyelidik yang berjaya.

“Kadang-kadang kami selalu berbincang tentang teori dan metodologi penyelidikan bersama dan ini menjadikan hubungan kami bukan sekadar antara ayah dan anak, tetapi juga rakan seperjuangan dalam dunia meneroka ilmu penyelidikan,” ujarnya.

Mohamad Nawawy berkata, sokongan isteri dan anak-anak menjadi tunjang kekuatannya sepanjang pengajian, selain bimbingan penyelia utama, Pensyarah Pusat Sains Kemanusiaan, Dr Fatmawati Latada.

Mohamad Nawawy (tengah) bersama isteri serta keluarga selepas berjaya menamatkan pengajian di peringkat PhD. - Foto UMPSA

Jelasnya, antara pengalaman paling bermakna sepanjang pengajian apabila diterima baik oleh pelajar muda yang sebaya anak-anaknya.

“Ada pengalaman lucu iaitu apabila saya sering menjadi ‘ayah’ kepada rakan sekuliah yang berusia 30 atau 40 tahun lebih muda.

“Mereka memanggil saya ‘pak cik’ tetapi pada masa sama saya jadi rakan perbincangan mereka. Hubungan itu sangat indah kerana ia membuktikan bahawa ilmu menyatukan generasi,” katanya.

Bercerita tentang perjalanan akademiknya, Mohamad Nawawy bermula di Maktab Perguruan Pendidikan dan Nilai Pemakanan dari tahun 1977 hingga 1979.

Selepas itu beliau menyambung pengajian di Universiti Pendidikan Nasional Bandung, Indonesia dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Psikologi Pendidikan dan Kaunseling pada tahun 1998.

Tidak berhenti di situ, beliau kemudian melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana Kaunseling di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1998 hingga 2001 dan akhirnya berjaya menamatkan pengajian PhD dalam bidang Sains Kemanusiaan di UMPSA tahun ini.