UMNO Kedah gesa Teresa Kok mohon maaf

Iklan
UMNO Kedah menggesa Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok membuat permohonan maaf secara terbuka. Gambar kecil: Mahdzir Khalid

ALOR SETAR - UMNO Kedah menggesa Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok membuat permohonan maaf secara terbuka.

Beliau didakwa mengguris hati rakyat Kedah dan menyentuh kedaulatan Sultan Kedah menerusi cadangannya agar Pulau Langkawi diletakkan bawah pentadbiran kerajaan Persekutuan.

Iklan
Iklan

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kenyataan Teresa itu dianggap tidak menghormati kedudukan Langkawi sebagai tanah jajahan takluk di bawah naungan Tuanku Sultan Kedah.

“Cadangan tersebut jelas tidak menghormati Tuanku Sultan Kedah selaku Raja yang menaungi segala tanah jajahan takluknya termasuk rakyat negeri ini.

Iklan

Cadangan Pulau Langkawi diletakkan bawah pentadbiran kerajaan Persekutuan didakwa mengguris hati rakyat Kedah dan menyentuh kedaulatan Sultan Kedah.

“Beliau sepatutnya lebih peka dan sensitif terhadap apa jua perkara yang mahu dibangkitkan di mana-mana platform, termasuk di Dewan Rakyat meskipun mempunyai imuniti,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Mahdzir menegaskan, Ahli Parlimen DAP itu tidak wajar mencampuri hal membabitkan institusi Raja-Raja, apatah lagi menyentuh hak milik tanah jajahan Sultan Kedah.

“Perkara seperti ini bukanlah sesuatu yang boleh dibangkitkan sesuka hati kerana ia melibatkan martabat Tuanku Sultan.

“Hal berkaitan tanah jajahan takluk baginda Tuanku bukan seperti urusan mengambil buah kelapa gugur di tepi jalan yang tiada pemilik. Ini soal kedaulatan yang tidak boleh dikompromi,” katanya.

Menurut bekas menteri besar itu, sebarang isu pembangunan di Langkawi boleh diselesaikan melalui pendekatan lain tanpa perlu menyerahkan pulau tersebut kepada kerajaan Persekutuan.

“Di Langkawi sudah ada Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) sebagai agensi Persekutuan yang berperanan memajukan potensi pelancongan. Apa yang perlu adalah memperkasa peranan sedia ada,” ujarnya.

Teresa dilihat mengkritik kerajaan negeri Kedah di bawah pimpinan Pas atas dakwaan gagal membangunkan Langkawi.

Sebelum ini, Teresa dilihat mengkritik kerajaan negeri Kedah di bawah pimpinan Pas atas dakwaan gagal membangunkan Langkawi, malah menyindir hasrat kerajaan negeri mahu mengambil alih Pulau Pinang.

Beliau turut berpendapat, Langkawi mempunyai kekuatan tersendiri dalam sektor pelancongan dan lebih sesuai dimajukan di bawah pentadbiran kerajaan Persekutuan.

Teresa mencadangkan supaya Pulau Langkawi ditadbir sebagai Wilayah Persekutuan atau Zon Antarabangsa bagi merancakkan pembangunan pelancongan secara lebih sistematik.