Hanya empat ketua cawangan keluar parti - Bersatu Kuala Kangsar

Iklan
Hashim (duduk di tengah) memberi penjelasan berhubung jumlah sebenar Ketua Cawangan Bahagian Kuala Kangsar yang mengisytiharkan keluar pati seperti yang didakwa sebelum ini.

KUALA KANGSAR - Hanya empat Ketua Cawangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Kuala Kangsar mengisytiharkan keluar parti dan bukannya sembilan cawangan seperti yang didakwa sebelum ini.

Ketua Bahagian Bersatu Kuala Kangsar, Dr Hashim Bujang berkata, jumlah keseluruhan cawangan Bersatu di bahagian berkenaan adalah sebanyak 16 cawangan dan bukannya 11 seperti yang dilaporkan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, selain empat ketua cawangan, hanya tiga ahli jawatankuasa (AJK) bahagian iaitu timbalan ketua bahagian, bendahari dan AJK dipilih serta dua AJK Srikandi bahagian hadir pada majlis berkenaan.

“Berdasarkan siasatan, hanya empat ketua cawangan, bukannya sembilan cawangan seperti yang dinyatakan, hadir pada majlis tersebut.

Iklan

“Selain itu, kami turut meragui jumlah kehadiran seramai 100 orang seperti yang dinyatakan, malah berdasarkan maklumat diterima, mereka yang hadir juga didapati bukan semuanya ahli Bersatu Bahagian Kuala Kangsar,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Doa Selamat dan Kesyukuran serta Bacaan Yasin sempena Ulang Tahun Ke-10 Bersatu Malaysia Bahagian Kuala Kangsar di Kota Lama Kiri di sini pada Jumaat.

Iklan

Pada 11 September lalu, media melaporkan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Kuala Kangsar, Datuk Adly Shah Ahmad Tah, bersama sembilan daripada 11 cawangan bahagian itu mengumumkan keputusan meletakkan semua jawatan dan meninggalkan parti berkenaan.

Adly Shah berkata, cawangan terbabit adalah Bunga Raya, Ulu Kenas, Sayong Lembah, Bendang Kering, Senggang, Jerlun, Bukit Residen dan Lempor dengan gerakan itu membabitkan 115 ahli dan pemimpin.

Sementara itu, Hashim berkata, beliau turut dimaklumkan bahawa sebahagian individu yang hadir ke majlis berkenaan dijemput untuk menerima sumbangan beras dan bukannya bagi membuat pengisytiharan keluar parti.

Katanya, perkembangan tersebut tidak menjejaskan Bersatu Bahagian Kuala Kangsar kerana tiada satu pun cawangan parti itu terbubar.

“Bagi empat Ketua Cawangan yang mengisytiharkan keluar Bersatu, jawatan tersebut akan dipangku oleh Timbalan Ketua Cawangan, Naib Ketua Cawangan atau mengikut barisan kepimpinan tertinggi dalam cawangan berkenaan.

“Setakat ini, 11 cawangan Bersatu Bahagian Kuala Kangsar telah menyelesaikan mesyuarat cawangan, manakala lima lagi cawangan akan menyusul dalam bulan ini,” katanya.

Hashim berkata, Bersatu Bahagian Kuala Kangsar tidak pernah menghalang mana-mana ahli yang ingin keluar parti kerana setiap individu bebas memilih wadah perjuangan yang diyakini dalam sistem demokrasi.

Menurutnya, senarai nama individu yang hadir pada majlis pengisytiharan keluar parti itu juga telah dikemas kini dan laporan dihantar kepada Ibu Pejabat Bersatu bagi tindakan mengeluarkan nama berkenaan daripada senarai keahlian.

Dalam pada itu, Hashim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Chandan berkata, kepimpinan Bersatu Kuala Kangsar akan terus memberi tumpuan kepada pengukuhan organisasi, penyusunan jentera serta gerak kerja di peringkat akar umbi menjelang Pilihan Raya Umum ke-16.