KUALA LUMPUR - Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menegaskan bahawa tiada siapa mengatasi undang-undang dan mana-mana individu yang disabitkan kesalahan perlu menjalani hukuman mengikut lunas undang-undang seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Majlis Presiden PH turut menyatakan pendirian teguh menyokong pandangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta nasihat Peguam Negara dan Menteri Wilayah kepada Lembaga Pengampunan.
ARTIKEL BERKAITAN: Mesyuarat Presiden PH jadi tumpuan petang ini
Mesyuarat Majlis Presiden PH selesai
"Dan sesiapa sahaja yang disabitkan kesalahan perlu menjalani hukuman mengikut lunas undang-undang seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Kenyataan itu dikeluarkan sejurus Mesyuarat Majlis Presiden PH yang dipengerusikan Anwar berakhir selepas lebih sejam berlangsung di Bangunan Perdana Putra di sini pada Jumaat.
Mesyuarat berkenaan bermula kira-kira jam 5.30 petang sebelum beberapa kenderaan yang membawa pimpinan PH dilihat meninggalkan lokasi seawal jam 7 malam.
Difahamkan, mesyuarat berkenaan dihadiri Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dan Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Dalam pada itu, Majlis Presiden PH menegaskan komitmen untuk meneruskan usaha membanteras rasuah, mengangkat agenda Reformasi serta membersihkan negara daripada unsur rasuah dan penyelewengan.