FIM lahir tenaga mahir kulinari unggul

Iklan
Seramai 350 graduan menerima diploma dan sijil dalam pelbagai bidang kulinari dan hospitaliti.

KUALA LUMPUR – Majlis Konvokesyen Institut Makanan Malaysia (FIM) 2025 yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur menyaksikan seramai 350 graduan menerima diploma dan sijil dalam pelbagai bidang kulinari dan hospitaliti.

Penasihat FIM, Cef Moh Jo berkata, majlis berprestij itu bukan sekadar meraikan kejayaan akademik para pelajar, sebaliknya mencerminkan komitmen FIM dalam melahirkan tenaga mahir berkualiti tinggi untuk memenuhi keperluan industri makanan dan hospitaliti negara.

Iklan
Iklan

“Tahniah kepada semua graduan kerana berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang. FIM akan terus memainkan peranan membentuk generasi baharu cef dan profesional industri makanan bertaraf antarabangsa,” ujarnya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Tumpuan utama konvokesyen kali ini terarah kepada graduan Program Biasiswa ‘Chefmuda Mahsuri’, hasil kerjasama strategik antara FIM dan Mahsuri Dagang Sdn Bhd yang membuka peluang kepada belia berbakat daripada pelbagai latar belakang mengikuti latihan kulinari profesional secara tajaan penuh.

Iklan

Pelajar bersama ibu bapa yang hadir di Majlis Konvokesyen FIM 2025 berlangsung di Dewan Merdeka di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Menurut Pengarah Bersekutu – Hal Ehwal Luar Mahsuri Dagang Sdn Bhd, Mohd Jazri Ikmal Hijaz, program itu bermula pada 2022 dengan lima peserta dan kini telah menaja 25 pelajar keseluruhannya.

Iklan

“Dua graduan kumpulan terdahulu hadir hari ini, termasuk pelajar terbaik program. Kejayaan mereka membuktikan pendekatan latihan berasaskan industri yang diterapkan FIM mampu melahirkan tenaga kerja berkualiti tinggi,” ujarnya.

Antara penerima biasiswa yang diraikan ialah Iman Ahmad Faizal, 21, dari Masjid Tanah, Melaka, juga dinobatkan sebagai pelajar terbaik Sijil Kompetensi Seni Kulinari dan Hospitaliti.

Iman (dua dari kanan) ditemani keluarga dinobatkan sebagai pelajar terbaik Sijil Kompetensi Seni Kulinari dan Hospitaliti.

Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, program tersebut membuka peluang besar buatnya yang datang daripada keluarga berpendapatan sederhana.

“Ayah bekerja sendiri buat pendawaian, jadi bila dapat tajaan ini memang banyak membantu.

“Belajar di institusi swasta bukan murah, jadi saya sangat bersyukur,” katanya yang menerima elaun bulanan RM500 sepanjang tujuh bulan pengajian termasuk latihan industri.

Bagi Iman, bidang seni kulinari menuntut ketekunan dan kesediaan menghadapi cabaran sebenar di dapur profesional.

“Ramai anggap bidang ni mudah, tapi sebenarnya mencabar bila kita perlu hasilkan menu baharu dan olah resipi sendiri,” jelasnya.

Seorang lagi penerima biasiswa, Saidatul Amilla Indra, 21, dari Klang, Selangor turut melahirkan rasa syukur kerana berjaya menamatkan Sijil Kompetensi Seni Kulinari dan Hospitaliti di bawah tajaan sama.

Saidatul (kiri) bersama keluarga yang hadir memberikan sokongan.

“Saya anak kedua daripada lima beradik dalam keluarga sederhana. Program ini benar-benar mengubah hidup saya dan membuktikan pelajar daripada latar sederhana pun boleh berjaya bila diberi peluang,” ujarnya.

Kejayaan dua pelajar berkenaan menjadi bukti kejayaan kerjasama strategik antara sektor industri dan institusi latihan dalam memperkukuh bidang pendidikan teknikal dan latihan vokasional negara.