NAMPAKNYA Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sekali lagi membangkitkan tentang hasrat untuk 'mengambil semula' Pulau Pinang.
Perkara tersebut dibangkitkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri Kedah apabila beliau mendakwa bahawa Pulau Pinang adalah milik Kedah.
Sebelum ini beliau pernah membangkitkan isu pajakan Pulau Pinang pada 2021 dan menuntut bayaran semula royalti pajakan sebanyak RM100 juta daripada Kerajaan Persekutuan, berbanding kadar lama RM10,000 setahun yang tidak pernah dinilai semula sejak lebih dua abad lalu.
Ini kerana berdasarkan kajian menyeluruh yang melibatkan lebih 20,000 dokumen daripada pelbagai arkib termasuk British Library di London bagi menilai semula hubungan sejarah, isu sempadan, bayaran air Sungai Muda serta kadar pajakan yang dianggap sudah tidak lagi munasabah.
Bagaimanapun, sebagai respons kepada perkara yang dibangkitkan Muhammad Sanusi itu, kerajaan negeri Pulau Pinang bersedia untuk berdepan dengan tindakan perundangan yang bakal diambil Kedah.
Ironinya, perkara itu sudah berlarutan lebih tiga tahun namun sehingga kini masih belum menerima sebarang notis daripada mahkamah berhubung perkara tersebut.
Sementara itu, Muhammad Sanusi pula memaklumkan negeri itu dalam fasa akhir memuktamadkan pelantikan pasukan guaman bagi memulakan tindakan perundangan berhubung isu berkenaan.
Yang kita harap Muhammad Sanusi berusaha untuk pertahan hak dan bukan sekadar mahu mendapatkan sokongan politik semata-mata.
Dan jika benar perkara ini sampai ke peringkat mahkamah, kita menjangkakan ia mungkin akan masa yang lama untuk dirungkaikan.
Cuma yang kita bimbang ialah perkara ini tidak seharusnya terus jadi polemik kerana kita bimbang andai suatu hari nanti ia menjadi mencetus masalah lebih besar jika muncul pemimpin politik yang ekstrem.
Sudah tentu kita tidak mahu pengalaman-pengalaman yang pernah dilalui negara lain sehingga tercetusnya perang saudara - sesuatu yang perlu kita elak.
Sebaiknya isu seperti ini diselesaikan dengan jalan perundangan dan apa jua keputusan diterima dengan hati terbuka dan berlapang dada.