'Yang celaru dakwaan Hassan, bukan kerajaan Persekutuan dan PM' - Syahredzan

Iklan
Laporan Sinar Harian mengenai kenyataan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berhubung keputusan kerajaan tidak merayu kes tuntutan 40 peratus hasil bersih kepada Sabah. Gambar kecil: Syahredzan

SHAH ALAM - Tidak timbul isu kerajaan Persekutuan sengaja melengah-lengahkan pelaksanaan perintah Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang mengarahkan semakan dilakukan bersama kerajaan Sabah bagi menentukan hak terhadap 40 peratus hasil negeri itu.

Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berkata, Putrajaya menunjukkan komitmen untuk memenuhi segala obligasi seperti termaktub dalam Perlembagaan dan diperintahkan oleh mahkamah berhubung kes berkenaan.

Iklan
Iklan

"Kerajaan Madani telah berterus-terang dan bertindak terbuka dalam isu ini, termasuklah kesediaan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) untuk menjawab sendiri isu-isu yang dibangkitkan.

"Tiada kecelaruan di pihak kerajaan Persekutuan dan Perdana Menteri. Dengan segala hormatnya, yang celaru adalah dakwaan Hassan Karim sendiri dan kecelaruan ini telah mengelirukan rakyat," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Iklan

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim mendakwa wujud kecelaruan di pihak Perdana Menteri dan Jemaah Menteri dalam keputusan kerajaan untuk tidak merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu dalam kes berkenaan.

Beliau mempersoalkan sama ada Perdana Menteri dan Jemaah Menteri menyedari aturan mahkamah iaitu jika kerajaan tidak membuat rayuan keputusan itu, bermakna kerajaan Putrajaya bersetuju dengan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.

Iklan

Dalam pada itu Syahredzan menjelaskan, semua pihak harus menghormati hak serta kepentingan negeri Sabah seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Namun ujarnya, kerajaan merasakan terdapat kekhilafan oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu terutama mengenai kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah menyalahgunakan kuasa dan melanggar kewajipan perlembagaan sejak 1974.

Justeru menurut beliau, dapatan berkenaan membawa implikasi besar dan membuka ruang kepada tindakan mahkamah seperti 'misfeasans' semasa menjawat jawatan awam terhadap menteri-menteri Persekutuan dan Sabah sejak 1974.

"Ini antara sebabnya kerajaan harus merayu terhadap dapatan ini dan dalam keadaan ini, rayuan akan terhad kepada dapatan-dapatan yang menjadi asas rayuan sahaja.

"Dapatan lain dan perintah mahkamah itu sendiri, tidak termasuk sekali dalam rayuan," jelasnya.