40 peratus hasil Sabah: Penjelasan PM bercelaru, tak jawab isu berbangkit - Hassan Karim

Iklan
Hassan Karim

JOHOR BAHRU - Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menyifatkan penjelasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen berhubung keputusan kerajaan tidak merayu kes tuntutan 40 peratus hasil bersih kepada Sabah sebagai bercelaru dan tidak menjawab isu berbangkit.

Beliau menyatakan bahawa jemaah menteri dalam mesyuarat khas pada 11 November lalu tidak akan merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung tuntutan itu.

Iklan
Iklan

Jelasnya, keputusan Anwar itu dibuat setelah mendengar penjelasan dan nasihat Peguam Negara yang membuat keputusan tidak akan merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu itu.

"Kecelaruan hujah dari segi undang-undang timbul dalam ucapan Anwar di Parlimen.

Iklan

"Dalam satu aspek Anwar berkata kerajaan menerima keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berkenaan isu 40 peratus tuntutan hasil kepada Sabah.

"Tetapi Anwar memberitahu Parlimen bahawa kerajaan Persekutuan atau jemaah menteri tidak bersetuju dengan beberapa perkara yang dinyatakan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu dalam alasan penghakimannya.

Iklan

"Misalnya hukuman yang dinyatakan dalam alasan penghakiman itu yang membawa tafsiran oleh Perdana Menteri bahawa semua Perdana Menteri yang lalu dari tahun 1974 hingga sekarang dan semua Ketua Menteri Sabah yang lalu dalam tempoh yang sama dari 1974 hingga sekarang dihukum oleh keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu itu.

"Di sinilah terletaknya kecelaruan Perdana Menteri dan jemaah menteri. Di sinilah juga terletak kecuaian dan kegagalan Peguam Negara dalam memberi nasihat kepada Perdana Menteri dan jemaah menteri," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau mempersoalkan sama ada Perdana Menteri dan jemaah menteri menyedari aturan mahkamah iaitu jika kerajaan tidak membuat rayuan keputusan itu, bermakna kerajaan Persekutuan bersetuju dengan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.

Anwar ujarnya, tidak boleh datang ke Parlimen untuk menyatakan keputusan mahkamah berkenaan tuntutan hasil bersih 40 peratus itu, kerajaan Persekutuan setuju tetapi beberapa perkara dan butiran dalam alasan penghakiman Perdana Menteri, jemaah menteri serta kerajaan Persekutuan tidak setuju.

"Perlu difahami keputusan mahkamah yang dibuat oleh hakim dan alasan penghakiman yang juga dibuat oleh hakim yang sama adalah dua perkara yang berbeza tetapi saling berkait seperti isi dengan kuku," katanya.

Keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu itu adalah berasaskan alasan penghakiman Hakim yang mendengar kes semakan kehakiman tersebut, katanya.

Jika ada isu yang dikemukakan dalam alasan penghakiman yang kerajaan Persekutuan tidak setuju, beliau berkata, maka kerajaan Persekutuan perlu merayu ke Mahkamah Rayuan.

Malah katanya, jika perlu merayu hingga ke Mahkamah Persekutuan kerana kes tuntutan tersebut, itu adalah isu keperlembagaan dan platform terakhir diputuskan isu perlembagaan tersebut ialah di Mahkamah Persekutuan, bukan di Mahkamah Tinggi Kota Kenabalu.

"Jika kerajaan Persekutuan telah memutuskan tidak mahu merayu maka natijah undang-undang mahkamah ialah Kerajaan Persekutuan kena patuh dan akur 100 peratus setiap perintah yang dinyatakan dalam keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu bertarikh 17.10.2025 itu. Tidak boleh pilih-pilih," tegasnya.

Pada peringkat sekarang katanya, kerajaan Persekutuan tidak boleh berlengah-lengah atas alasan untuk berunding dengan kerajaan negeri Sabah atau Jawatankuasa Khas Kabinet berkenaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

"Ini bukan masa berunding lagi.Ini masa untuk laksanakan apa yang diperintah oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.Tidak ada pilihan lain.

"Jika kerajaan Persekutuan gagal mematuhi keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu itu maka kerajaan Persekutuan telah tidak menghormati mahkamah atau menghina mahkamah.

"Inilah kesannya atau natijah keputusan kerajaan yang terburu-buru memutuskan untuk tidak merayu," katanya.

Beliau mendakwa, tidak ada menfaat Anwar datang ke Parlimen menyatakan bahawa beberapa butiran dalam alasan penghakiman bersifat menghukum kerajaan Pusat dan kerajaan negeri yang terdahulu hingga sekarang tetapi kerajaan Persekutuan telah memutuskan untuk tidak merayu.

Parlimen katanya, tidak boleh buat apa-apa untuk berpihak kepada kerajaan Persekutuan atas prinsip pemisahan kuasa dan juga keluhuran undang-undang dan kedaulatan Perlembagaan.

"Jangan salahkan sesiapa jika ada pihak membuat kesimpulan bahawa kerajaan Persekutuan telah membuat satu kesalahan tort yang dipanggil kecuaian kerajaan Persekutuan kerana tidak membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu tersebut," tambahnya.