KUALA LUMPUR - Status kerajaan Sabah ketika ini sebagai kerajaan sementara atau ‘caretaker' tidak menghalang rundingan bersama kerajaan Persekutuan berkaitan pemberian khas berdasarkan 40 peratus hasil diperoleh dari negeri berkenaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rundingan akan dibuat bagi perkara teknikal sementara menunggu pembentukan kerajaan negeri yang baharu selepas selesai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah nanti.
“Kerajaan Persekutuan tidak mahu dianggap melengah-lengahkan (rundingan). Proses itu sedang berjalan.
“Sekarang sekurang-kurangnya Ketua Setiausaha Perbendahraan (Datuk Johan Mahmood Merican) telah menulis surat kepada Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri (Sabah) menyatakan boleh mula berunding soal-soal teknikal termasuk perkara yang disebut dalam penghakiman” katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.
Anwar berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) berhubung status rundingan pemberian khas 40 peratus hasil Sabah memandangkan negeri tersebut ketika ini sedang berdepan PRN.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan, kemudiannya dalam jawatankuasa teknikal tentulah telah dibincangkan untuk dirujuk perkara itu kepada Menteri Kewangan, Ketua Menteri dan Jemaah Menteri dan perlu menunggu sehingga selesai PRN serta terbentuknya kerajaan negeri yang baharu.
Bagi beliau, PRN Sabah tidak akan menghalang perbincangan teknikal terlebih dahulu untuk memudahkan proses rundingan terbabit.
Dalam perkembangan sama, Anwar turut mengingatkan bahawa proses rundingan atau penyelesaian masalah mahupun pertikaian yang timbul dalam isu pemberian khas 40 peratus hasil Sabah perlu dibuat berpaksikan semangat kesatuan dan perpaduan sebagai sebuah negara.
Beliau menambah, tanggungjawab kerajaan Persekutuan adalah menjaga hubungan baik dengan negeri selain berusaha menyelesaikan sebarang pertikaian yang timbul.
"Kalau ada kegelisahan munasabah (disuarakan negeri), kita harus dengar dan cuba selesaikan. Ada pihak lebih rasional yang sedia mengatur rundingan.
"Sebab ini, kalau menjawab... rundingan boleh diadakan apabila ada hubungan baik, kalau boleh saya sambung... cari kerajaan negeri yang ambil sikap agak lebih positif, jadi proses akan lebih cepat dan baik,” ulasnya.
Justeru, beliau juga berharap supaya semangat kesatuan dan perpaduan antara kerajaan negeri dan kerajaan Pusat dapat terus dijaga
"Saya harap semangat kesatuan (dan) perpaduan dijaga, kerana kalau kita tiupkan isu menghasut dan perkauman sempit, ia bakal merugikan. Yang untung hanya kepala (pemimpin) di atas (tapi) rakyat ‘bertempur’ tanpa air, tanpa elektrik dan jalan berlubang," katanya.