JAKARTA – Pendakwah terkenal dari Kediri, Jawa Timur, Mohammad Elham Yahya Luqman atau Gus Elham, tampil membuat permohonan maaf secara terbuka selepas video beliau mencium kanak-kanak perempuan menjadi tular dan menimbulkan kemarahan orang ramai.
Tindakan itu menerima kritikan hebat, termasuk daripada Timbalan Menteri Agama, Romo Muhammad Syafi'i yang menyifatkan perbuatan pendakwah tersebut tidak sesuai, lebih-lebih lagi kerana beliau merupakan seorang tokoh agama.
"Kami sependapat dengan masyarakat bahawa tindakan ini tidak wajar!" tegas Romo Syafi'i memetik laporan Antara pada Selasa.
Beliau menambah, kementerian telah mengeluarkan panduan jelas untuk memastikan madrasah dan pesantren menjadi persekitaran mesra kanak-kanak, di mana hak pelajar dilindungi daripada sebarang bentuk keganasan.
Pengurusan Besar Nahdlatul Ulama (PBNU) juga mengecam tindakan Gus Elham, dengan menyatakan bahawa ia bertentangan dengan akhlak mulia dan prinsip dakwah Islam rahmatan lil 'alamin.
Pengerusi PBNU, Alissa Wahid menegaskan bahawa sebarang perbuatan yang merendahkan martabat kanak-kanak adalah pelanggaran serius terhadap nilai kemanusiaan dan merosakkan kredibiliti dakwah.
Gus Elham melalui akaun Instagram @fuadbakh, menyifatkan insiden itu sebagai kekhilafan peribadi dan menegaskan komitmennya untuk memperbaiki diri.
"Dengan penuh rendah hati, saya memohon maaf kepada seluruh masyarakat atas tersebarnya video yang menimbulkan kegaduhan.
"Saya mengakui ia adalah kesilapan peribadi dan bertekad menjadikan kejadian ini sebagai pengajaran agar tidak berulang," jelasnya.
Beliau turut menekankan bahawa kanak-kanak dalam video itu berada di bawah pengawasan ibu bapa dan mengikuti pengajian secara rutin. Video berkenaan adalah rakaman lama yang telah dipadamkan daripada semua media rasmi beliau.- Agensi