[VIDEO] Bapa pelajar UPSI terkorban nahas hiba terima ijazah anumerta

Iklan

TANJUNG MALIM – Suasana hiba menyelubungi Istiadat Konvokesyen Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ke-27 di sini pada Selasa, apabila ijazah secara anumerta diserahkan kepada keluarga Allahyarham Nurly Shahirah Azman, 23, dan Fatin Nasrien Fadli, 22.

Kedua-dua Allahyarham merupakan antara 15 pelajar UPSI yang terkorban dalam nahas bas persiaran di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), berhampiran Tasik Banding, Gerik pada 9 Jun lalu.

Iklan
Iklan

Azman mewakili Allahyarham Nurly Shahirah menerima ijazah secara anumerta yang disampaikan Tuanku Zara (kiri) pada Istiadat Konvokesyen UPSI di Tanjung Malim pada Selasa.

Ijazah berkenaan disampaikan oleh Raja Permaisuri Perak yang juga Canselor UPSI, Tuanku Zara Salim kepada bapa Allahyarham Nurly Shahirah, Azman Mohamad, 63, dan bapa Allahyarhamah Fatin Nasrien, Fadli Abd Rahman, 50.

Iklan

Sebaik selesai penyerahan ijazah anumerta itu, baginda dilihat sebak dan mengesat air mata ketika menyaksikan tayangan montaj yang memaparkan laporan serta gambar tragedi nahas tersebut.

Azman (kiri) dan Kamariah menunjukkan ijazah yang diterima secara anumerta.

Iklan

Menurut Azman, beliau cekalkan hati menjadi pengganti kepada anak perempuannya itu untuk menerima Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Khas) dengan Kepujian.

“Sebagai seorang ayah dan ibu, hati mana yang tidak sedih kerana UPSI menjadi sejarah harapan kami untuk melihat anak naik ke podium, tetapi ALLAH SWT telah aturkan dengan sebaiknya.

“Rasa sedih dan gembira bercampur-baur ketika nama anak disebutkan. Alhamdulillah, ALLAH SWT beri kekuatan, kesedihan itu disimpan, walaupun hati kecil ini berasa sayu,” katanya yang turut ditemani isteri, Kamariah Abdul Latif, 60, di Dewan Tuanku Canselor di sini.

Bagi Fadli, perasaan beliau dan isterinya, Norhasliza Yusof, 43, bercampur-baur ketika berada di pentas bagi mewakili Fatin Nasrien menerima Ijazah Sarjana Muda Sains (Matematik) dengan Pendidikan.

Fadli (kiri) dan Norhasliza menunjukkan ijazah yang diterima secara anumerta.

“Ijazah ini amat bermakna untuk dijadikan contoh kepada empat anak kami yang lain agar dapat mengikuti jejak langkah kakak mereka dalam melanjutkan pengajian.

“Pada masa sama, hati ini tetap berasa sedih kerana arwah juga merupakan harapan keluarga. Terima kasih UPSI kerana tidak melupakan kami,” katanya.

Pada sesi pertama istiadat tersebut, seramai 635 graduan menerima skrol daripada keseluruhan 7,173 graduan yang akan dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah, Ijazah Sarjana, Ijazah Sarjana Muda dan Diploma.