KUALA LUMPUR - Nilai ringgit terus mengukuh kepada RM4.16 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), sekali gus muncul sebagai mata wang berprestasi terbaik di rantau Asia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ukuran tersebut ditentukan oleh badan penarafan kredit dan bukan kerajaan.
"S&P Global Ratings dan Moody’s Rating mengekalkan pernarasan kredit negara masing-masing A- dan A3, maknanya tunjauan stabil dan kukuh.
"Dari segi kadar pengangguran, pada Ogos 2025 terendah dalam tempoh 10 tahun. Tingkat kadar gaji minimun pula dinaikkan RM1,700 dan ini tidak mudah kerana banyak syarikat yang menentang," katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.
Beliau menjawab pertanyaan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) mengenai ukuran keberkesanan pelaksanaan Dasar Ekonomi Madani selepas tempoh 18 hingga 24 bulan.
Terdahulu Anwar yang juga Menteri Kewangan membidas pembangkang ekoran menyerang kerajaan dalam isu ringgit sebelum ini.
Menurut Ahli Parlimen Tambun itu, pembangkang pernah sebelum ini mendakwa nilai ringgit jatuh namun kini ketika ringgit kembali mengukuh, tidak diperkatakan.
"Sekarang bila ringgit mengukuh, tidak sebut sepatah pun. Ini masalah sekarang ini,” ujarnya.