LANGKAWI – Operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) insiden bot karam yang dipercayai membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) di perairan sempadan Malaysia–Thailand menemukan lima lagi mayat pada Isinin menjadikan jumlah korban terus meningkat kepada 18 orang.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, penemuan pertama berlaku pada jam 12.47 tengah hari apabila bot PERKASA 1226 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menjumpai mayat seorang kanak-kanak lelaki kira-kira dua batu nautika dari Tanjung Belua.
“Tidak lama selepas itu, bot FCB 1331 milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pula menemukan mayat seorang lelaki dewasa terapung di laut dan membawanya ke jeti Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut,” katanya pada malam Isnin.
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut memaklumkan penemuan mayat seorang wanita kira-kira tiga batu nautika barat laut Pulau Rebak Besar, sebelum dibawa ke jeti Harbour Park.
Pada jam 3.31 petang, aset KD LEDANG milik TLDM menemukan satu lagi mayat wanita, yang kemudiannya diserahkan kepada bot BENTENG 7 untuk dibawa ke jeti Maritim Malaysia.
Bot PSC 20 milik Pasukan Polis Marin (PPM) turut menemukan mayat lelaki terapung dan membawanya ke jeti Harbour Park.
Romli berkata, sektor pencarian kini diperluaskan kepada 255.66 batu nautika persegi, melibatkan pelbagai aset laut dan udara daripada Maritim Malaysia, TLDM, PPM, JBPM dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Operasi Carilamat ditangguhkan pada jam 7.30 malam berikutan cuaca gelap dan laut bergelora. Ia akan disambung semula awal pagi esok,” ujarnya.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan tragedi bot karam itu terus meragut nyawa apabila enam mayat ditemui menjadikan jumlah korban meningkat kepada 13 orang.
Enam mayat tersebut telah dijumpai oleh pihak berkuasa Thailand pada Ahad.
Sepanjang Carilamat dilancarkan, seramai 13 orang yang berjaya diselamatkan ditahan untuk membantu siasatan.