GEORGE TOWN - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang mempergiat usaha memerangi rasuah menerusi pendekatan digital apabila melancarkan inisiatif e-flyer Mutiara SPRM Pulau Pinang.
Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk S Karunanithy berkata, menerusi usaha itu, penjawat awam digesa tampil melaporkan sebarang cubaan rasuah termasuk dengan tawaran ganjaran tunai.
Katanya, inisiatif itu diperkenalkan menerusi program kerjasama strategik bersama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) khusus melibatkan unit penguatkuasaan dan pelesenan.
Menurutnya, langkah berkenaan selari dengan usaha SPRM untuk memperkasa pegawai penguat kuasa agar berintegriti serta berani mengambil tindakan sekiranya berdepan tawaran sogokan ketika menjalankan tugas.
“Kita mahu pegawai di lapangan tampil melaporkan jika ditawarkan rasuah. Kerajaan telah menyediakan garis panduan yang membolehkan penjawat awam menerima ganjaran berdasarkan nilai sogokan yang dilaporkan.
"Insentif ini sepatutnya dimanfaatkan sepenuhnya bagi membanteras rasuah dari peringkat awal,” katanya kepada media selepas Program Dialog Antirasuah Kerjasama Antara SPRM Pulau Pinang dan MBPP di Komtar di sini pada Rabu.
E-flyer Mutiara SPRM Pulau Pinang merupakan bahan kesedaran digital yang dilengkapi kod QR bagi memudahkan akses dan perkongsian maklumat oleh ketua jabatan serta pegawai.
Karunanithy berkata, e-flyer berkenaan akan menampilkan tema berbeza setiap bulan antaranya cara membuat laporan kepada SPRM, kaedah menyalurkan maklumat berkualiti serta tip pencegahan rasuah secara praktikal.
“Bahan ini direka supaya mudah dikongsi melalui platform seperti WhatsApp dan boleh dimanfaatkan oleh penjawat awam serta orang awam.
"Pendekatan ini pernah dilaksanakan di Sabah ketika saya bertugas di sana dan terbukti berkesan,” katanya.
Beliau berkata, kebanyakan laporan yang diterima sebelum ini banyak melibatkan warga asing yang cuba menyogok pegawai penguat kuasa.
Katanya, siasatan sedang dijalankan dan kes akan dibawa ke mahkamah sekiranya bukti mencukupi.
"Sementara itu, kita menerima kurang daripada lima laporan berkaitan tawaran rasuah daripada penjawat awam di Pulau Pinang sepanjang tahun lalu," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan SPRM Pulau Pinang menerima sebanyak 37 maklumat risikan berkaitan MBPP sepanjang tahun lalu melibatkan pelbagai entiti dan isu penguatkuasaan.
“Daripada jumlah itu, lima tangkapan telah dibuat namun kes berkenaan masih dalam proses penelitian dan belum dibawa ke peringkat pendakwaan kerana sedang diteliti oleh Jabatan Peguam Negara," ujarnya.