Novolyte mula labur RM264 Juta di KHTP

Iklan
Haim Hilman (empat dari kiri) menghadiri majlis pecah tanah Novolyte Technology di KHTP baru-baru ini. Foto: FB Haim Hilman Abdullah

KULIM – Kedah terus mencatat pencapaian baharu apabila syarikat antarabangsa, Novolyte Technology Sdn Bhd, memulakan projek pelaburan strategik berteknologi tinggi bernilai RM264 juta di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) di sini.

Exco Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Kedah, Dr Haim Hilman Abdullah berkata, pelaburan tersebut mengukuhkan kedudukan negeri ini sebagai hab industri berteknologi tinggi di peringkat serantau dan global.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kemasukan Novolyte membuktikan keyakinan pelabur asing terhadap ekosistem industri serta dasar pro-pelaburan kerajaan negeri.

“Projek berkenaan melibatkan pembangunan kilang bahan elektronik di atas tanah seluas 10.195 ekar, dengan fasa awal tertumpu kepada fasiliti pembuatan bahan elektrolit dan kimia elektronik untuk aplikasi bateri.

Iklan

“Pelaburan ini akan mengukuhkan kedudukan Kedah dalam rantaian bekalan global industri bateri dan bahan kimia elektronik, selari dengan strategi pembangunan industri negeri yang menumpukan kepada pembuatan bernilai tinggi, industri berintensif teknologi serta sektor mampan,” katanya pada majlis pecah tanah Novolyte Technology di KHTP baru-baru ini.

Hadir sama, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulim (MPKK), Datuk Elmi Yusoff; Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Pulau Pinang, Zhou Youbin dan Pengarah Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Surayu Susah.

Iklan

Haim Hilman menegaskan, pelaburan tersebut bukan sahaja memacu pertumbuhan ekonomi negeri, malah membuka ruang kepada pembangunan bakat tempatan, pemindahan teknologi serta peluang pekerjaan berkemahiran tinggi untuk rakyat Kedah.

Beliau berkata, industri bateri litium-ion global dijangka melebihi USD400 bilion menjelang 2030, didorong oleh permintaan kenderaan elektrik (EV), penyimpanan tenaga boleh diperbaharui dan elektronik pengguna.

“Peranan Malaysia dalam rantaian bekalan litium-ion global akan diperkukuh melalui pelaburan strategik Novolyte di Kedah, menjadikan negeri ini sebagai hab pembuatan berteknologi tinggi,” ujarnya.

Pada Mac 2025, Novolyte secara rasmi menubuhkan Novolyte Technology Sdn Bhd di Malaysia, mencerminkan komitmen terhadap pembuatan tempatan, kecekapan rantaian bekalan serta hubungan lebih erat dengan pelanggan serantau.

Novolyte merupakan pemain global dalam industri bahan bateri dan elektrolit, disokong Capchem Group, selain memiliki operasi di Asia, Eropah dan Amerika Syarikat.

Syarikat itu turut diperkukuh melalui pemerolehan aset strategik milik BASF Corporation, termasuk jenama Selectilyte yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.