Fleximart, Kesum alternatif baru cabar penentuan harga barang

Iklan
Pelaksanaan Fleximart dan Kesum yang bermula minggu lalu menarik perhatian banyak pihak.

PELAKSANAAN Fleximart dan Kesum yang bermula minggu lalu menarik perhatian banyak pihak.

Diasaskan berdasarkan konsep modal perusahaan sosial oleh bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, projek ini membawa misi perjuangan lebih besar berbanding agenda menawarkan peluang pekerjaan serta jualan barang murah.

Iklan
Iklan

Berbeza dengan objektif Jualan Barang Rahmah dikemukakan Kerajaan Perpaduan, Rafizi menekankan konsep perusahaan sosial ini cuba membawa satu nilai dasar yang penting.

Nilai dasar itu mewujudkan satu konsep perniagaan yang mampu berdiri sendiri tanpa bantuan kerajaan, pada masa sama berpotensi mencabar status quo penentuan harga barang oleh pemain industri sedia ada yang terlalu berkuasa dalam rantaian bekalan.

Iklan

Strateginya bersifat serampang dua mata. Pertama, menawarkan peluang pekerjaan dan akses kepada barangan keperluan harga lebih rendah.

Kedua, membina model persaingan mampu memaksa pengeluar dan pengedar besar menilai semula struktur harga selama ini sedikit sukar disentuh.

Iklan

Langkah ini bukan sekadar membuka kedai runcit dan kedai makan murah untuk jangka masa panjang, tetapi usaha Rafizi menggerakkan sendiri satu kajian sosial dalam bentuk operasi sebenar.

Fleximart dan Kesum sedang bermula dengan dua lokasi perintis di Seksyen 7 Shah Alam dan Pandan Indah. Ujian ini menjadi penanda aras sama ada konsep perusahaan sosial mampu membawa impak sebenar terhadap pasaran runcit negara.

Jika jaringan ini berkembang dan mampu berdiri dengan sendiri, ia berpotensi mewujudkan tekanan pasaran yang lebih sihat di mana harga barang ditentukan oleh keperluan rakyat, bukan sepenuhnya oleh kuasa segelintir pengeluar atau pengedar.

Namun, kejayaan model ini tidak boleh diukur secara tergesa-gesa. Ia memerlukan masa, sokongan polisi, ketelusan data dan komitmen berterusan untuk memastikan matlamat asal tidak terpesong.

Kita juga perlu melihat sama ada usaha ini benar-benar mampu meluas ke kawasan bandar lain, pinggir bandar dan luar bandar.

Rakyat sangat mendambakan harga barang lebih rendah. Mereka menolak ketidakseimbangan kuasa yang menjadikan harga tidak masuk akal.

Jika Fleximart dan Kesum dapat memulihkan keseimbangan itu, maka projek ini bukan sekadar kedai komuniti tetapi permulaan kepada pasaran yang lebih adil dan berperikemanusiaan.