'Kami reda pemergian Zafri, tak salahkan cikgu-cikgu'

Iklan
Muhammad Zafri (kanan) yang meninggal dunia selepas dua hari bertarung nyawa dipercayai lemas. Kembar Muhammad Zafri iaitu Muhammad Zakir (kiri).

KUALA LUMPUR – “Saya dan suami reda dengan pemergian Zafri. Kami tidak salahkan sesiapa kerana cikgu-cikgu sudah menjaga dan mendidik anak kami dengan baik.”

Demikian luahan pilu Nur Izati Mohd Hairi, 34, ibu kepada Muhammad Zafri Aman Shaiful, murid berusia 11 tahun yang meninggal dunia selepas dua hari bertarung nyawa dipercayai akibat lemas ketika menyertai aktiviti renang di Kompleks Sukan Desa Tasik, Sungai Besi, di sini baru-baru ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, walaupun pemergian anak kedua daripada lima beradik itu meninggalkan kesan mendalam, dia dan suami, Aman Shaiful Yatin, 39, tetap menerima takdir itu.

Pasangan kembar ini begitu akrab antara satu sama lain.

Iklan

"Saya tidak salahkan cikgu kerana mereka sudah menjaga dan mendidik kedua-dua anak saya dengan baik, Zafri selalu cakap dia suka ke sekolah sebab nak jumpa cikgu.

"Setiap kali balik sekolah dia akan cerita tentang aktiviti bersama cikgu, malah, dia ada cikgu kesayangan yang dianggap sahabat baik," katanya ketika pada Ahad.

Iklan

Katanya, kedua-dua anak kembarnya, Zafri dan Muhammad Zakir disahkan mengalami autisme sejak berusia setahun, mereka aktif dan sangat rapat antara satu sama lain.

"Rumah kami dulu riuh dengan suara Zafri, dia suka buat bunyi-bunyi sebab itulah cara dia mengekspresikan diri, tapi kini suasana itu tidak sama lagi, rumah kami jadi sunyi.

"Zakir pun banyak termenung, dia cakap rindu abangnya dan mahu tidur di bilik mereka semula," katanya.

Menurutnya, Zafri menunjukkan perubahan luar biasa apabila bangun awal dan sangat teruja untuk ke sekolah ketika pagi sebelum kejadian.

"Selalunya dia mandi bila hari dah cerah, tapi pagi itu dia mandi awal sekitar 6.40 pagi dan tak sabar nak ke kolam renang.

"Malam sebelumnya itu pun dia ada cakap seronok nak buat aktiviti air keesokannya," katanya.

Menceritakan mengenai hari kejadian, jelasnya dia menerima panggilan telefon daripada guru anaknya yang menangis sambil menyebut nama Zafri dan meminta dia segera ke kompleks renang kira-kira jam 10.38 pagi.

"Saya bergegas ke sana dan bila sampai, saya lihat anak sudah terbaring kaku, badannya kebiruan.

"Jurulatih sudah cuba beri bantuan pernafasan tapi saya dimaklumkan nadi Zafri dah tiada, saya hanya mampu berdoa semoga ada keajaiban," katanya.

Menurutnya, apabila di hospital, pasukan perubatan berusaha menyelamatkan anak saya sebelum denyutan nadinya kembali ada.

"Saya sangat bersyukur dan anak diberikan rawatan serta bantuan pernafasan namun keadaannya semakin kritikal apabila dia sudah tidak boleh menerima susu (dimasukkan melalui tiub).

"Selain itu otaknya juga tidak dapat memberi maklum balas dan membengkak, itu yang saya dan suami setuju tamatkan bantuan pernafasannya," katanya

Jelasnya, jenazah Allahyarham Muhammad Zafri selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam As-Shuhadah, Sungai Udang, Melaka.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang murid lelaki meninggal dunia selepas dipercayai lemas ketika menjalani aktiviti Program Sokongan Keyakinan Air di Kolam Renang Kompleks Sukan Desa Tasik, Sungai Besi di sini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, mangsa berusia 11 tahun merupakan murid Sekolah Kebangsaan Bandar Tasik Selatan.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu selepas mangsa dilaporkan tidak sedarkan diri ketika mengikuti program berkenaan pada Rabu.

Ujar beliau, mangsa kemudiannya mendapatkan rawatan susulan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tambahnya, bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada Jumaat sekitar jam 2.30 petang.